Monday, November 7, 2016

Kemalangan Jalan Raya


TEMA                   :              KEMALANGAN JALAN RAYA
TUGASAN           :              USAHA-USAHA UNTUK MENGURANGKAN KADAR
         KEMALANGAN DI JALAN RAYA.

ISI-ISI PENTING :

Pengguna perlu mematuhi peraturan jalan raya.
Ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak ketika berada di jalan raya.
Sekolah memperkenalkan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya.
Media massa menyiarkan  dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.
Kerajaan  menjalankan kempen-kempen secara berterusan.

CONTOH KARANGAN .
              
Kemalangan jalan raya sering berlaku di negara kita. Setiap hari, kita boleh membaca berita berkaitan kemalangan di  surat khabar. Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada musim perayaan. Banyak nyawa yang telah terkorban dalam kemalangan tersebut. Terdapat pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya..

Antara usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah pemandu mesti memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik. Mereka perlu sentiasa menghantar kenderaan masing-masing untuk diservis. Kenderaan yang baik boleh menjamin keselamatan pemandu dan penumpang ketika di jalan raya. Sebaliknya, kenderaan yang tidak diservis boleh mengakibatkan kenderaan tidak dapat dikawal semasa berlaku kecemasan. Sebagai contoh, kenderaan yang rosak breknya tidak dapat diberhentikan dengan selamat..Oleh itu,keadaan kenderaan yang baik dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Selain itu,ibu bapa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya seperti memakai topi keledar ketika menunggang motosikal. Ibu bapa juga perlu memandu kenderaan mengikut had laju yang ditetapkan. .Dengan itu,anak-anak akan mencontohi amalan yang baik itu. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sememangnya berperanan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sekolah juga mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Sekolah boleh melaksanakan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya. Para pelajar akan diberi pendedahan tentang  hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya sejak kecil lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seterusnya, mereka akan menggunakan ilmu yang dipelajari di sekolah dan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah. Oleh itu, pendidikan di sekolah boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Di samping itu,media massa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Media massa seperti televisyen boleh menyiarkan dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya. Penonton akan menjadikan peristiwa kemalangan yang ditonton sebagai pengajaran. Dengan itu,mereka tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan jalan raya seperti memandu dengan laju dan menggunakan  telefon ketika memandu. Tindakan ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.

Seterusnya, kerajaan boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah dengan mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya secara berterusan.. Antara kempen yang telah diadakan ialah Kempen Berhati-hati di Jalan Raya. Kempen ini sangat penting untuk mengubah sikap pemandu agar lebih berhati-hati di jalan raya. Kempen ini boleh dijalankan di sekolah dan disiarkan melalui televisyen. Oleh itu,melalui kempen yang berterusan yang dijalankan oleh kerajaan  dapat mengurangkan kemalangan jalan raya.

Kesimpulannya,kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kadar kemalangan  jalan raya boleh dielakkan dengan wujudnya kerjasama daripada pelbagai pihak. Setiap pihak bertanggungjawab melaksanakan usaha-usaha tersebut dengan bersungguh-sungguh. Dengan ini, kemalangan sifar dapat dijadikan kenyataan. Hal ini bertepatan dengan slogan,Pandu Cermat Jiwa Selamat.

Sunday, November 6, 2016

Menghargai Warga Tua


TEMA                    :               MENGHARGAI WARGA TUA
TUGASAN            :               CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA

ISI-ISI PENTING :

Peranan keluarga – menyayangi warga tua
Peranan masyarakat – mengambil berat warga tua
Peranan media massa – memaparkan kisah hidup/penderitaan warga tua
Peranan guru – mengingatkan pelajar menghormati warga tua
Peranan kerajaan – menyediakan kemudahan kesihatan untuk warga tua

CONTOH KARANGAN - YANG MUDAH (Sesuai untuk murid pencapaian sederhana)
                                                                                                                              
Warga tua merupakan golongan yang paling berjasa kepada negara. Mereka telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.

Keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan kita dan bapa pula mencari rezeki untuk membesarkan kita. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua dan tidak menghantar mereka ke rumah orang tua-tua.

Di sekolah,guru boleh menasihatkan pelajar agar menghormati warga tua. Warga tua  yang terdiri daripada ibu bapa kita perlu disayangi dan dihormati. Anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka kerana syurga teletak di telapak kaki ibu.

Kerajaan juga perlu menghargai warga tua. Kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua akan mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta.

Media massa seperti surat khabar dan televisyen boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan hidup warga tua. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua..      

Pihak swasta  perlu   membantu warga tua. Mereka boleh mengutip derma untuk mengurangkan beban warga tua manakala kunjungan ke rumah orang tua-tua dapat mengeratkan hubungan .Warga tua akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa  dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan kita dan membesarkan kita


Usaha-usaha Memantapkan Hubungan Kekeluargaan


TAJUK                   :               HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG AKRAB
TUGASAN            :               USAHA-USAHA MEMANTAPKAN HUBUNGAN
                                               KEKELUARGAAN

ISI-ISI PENTING :

Memberitahu ibu bapa sebelum keluar dari rumah
Ibu bapa menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga
Peranan masyarakat
Peranan media massa
Peranan kerajaan melalui dasar tertentu


CONTOH KARANGAN - YANG MUDAH (Sesuai untuk murid pencapaian sederhana)

Hubungan kekeluargaan sangat penting.  Hubungan ini penting bagi melahirkan keluarga bahagia. Hal ini sekali gus dapat menangani gejala sosial. Pelbagai  usaha perlu diambil untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Antara usahanya ialah anak-anak perlu memberitahu  ibu bapa sebelum keluar rumah.  Hal ini demikan supaya anak –anak mendapat keizinan daripada ibu bapa sebelum keluar rumah terutama dalam menuntut ilmu. Hal ini memudahkan ibu bapa mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan. Oleh yang demikian anak-anak perlu memberitahu ibu bapa sebelum mereka keluar dari rumah.

Selain itu, ibu bapa hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin keluarga.  Mereka hendaklah sentiasa berbincang bersama anak-anak jika ada sebarang masalah.  Sebagai contoh, jika akan-anak berhadapan dengan masalah pelajaran, mereka perlu berbincang bersama-sama bagi mengatasinya. Amalan makan bersama-sama dengan ahli keluarga juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Tegasnya, ibu bapa perlu menjalankan tangunggjawab mereka dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.

Masyarakat turut memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.  Antaranya, adalah dengan mengadakan hari keluarga dan temasya sukan. Hal ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menjalinkan kerjasama antara ahli keluarga semasa pertandingan. Dengan ini, jelaslah bahawa masyarakat penting dalam usaha merapatkan hubungan kekeluargaan.

Di samping itu, peranan media massa juga penting untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.  Hal ini boleh dilakukan melalui iklan di televisyen dan surat khabar.  Sebagai contoh, terdapat iklan yang menggalakkan ahli keluarga berhubung melalui telefon bimbit.  Terdapat juga  iklan yang mempengaruhi orang ramai supaya  balik ke kampung pada hari-hari perayaan.  Oleh itu jelaslah bahawa media massa memainkan peranan penting  untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Kerajaan pula telah memperkenalkan  dasar bahawa setiap hari sabtu sebagai cuti umum.  Hal ini bertujuan agar ibu bapa dapat meluangkan masa bersama-sama dengan ahli keluarga.  Langkah ini akan menjadikan hubungan kekeluargaan lebih erat.  Sebagai contoh, ibu bapa membawa ahli keluarga pergi melancong ke tempat yang menarik di negara ini. Hal ini bertepatan dengan Kempen Cuti-Cuti Malaysia.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam merapatkan hubungan kekeluargaan . Usaha ini penting kerana hubungan kekeluargaan yang baik  dapat  mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga. Seterusnya, mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan  melahirkan rakyat yang penyayang.


Cara-Cara Mempopularkan Permainan Tradisional


TAJUK                   :               PERMAINAN TRADISIONAL
TUGASAN            :               CARA-CARA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL
FORMAT              :               TIADA

ISI-ISI PENTING :

Individu mencari maklumat berkaitan permainan tradisional
Ibu bapa beri sokongan kepada anak-anak
Peranan pihak sekolah yang menubuhkan kelab permainan tradisional
Peranan kerajaan melalui media massa
Peranan pihak swasta

CONTOH KARANGAN  (YANG MUDAH - SESUAI UNTUK KATEGORI MURID PENCAPAIAN SEDERHANA)

Permainan tradisional ialah permainan yang dimainkan oleh masyarakat dahulu pada masa lapang.  Antara permainan tradisional yang mendapat sambutan masyarakat ialah layang-layang, congkak dan batu seremban.  Namun demikian, permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda.   Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mempopularkan permainan tradisional ini.

Antara cara mempopularkan permainan tradisional ini ialah kita perlu mencari maklumat tentang  permainan tradisional tersebut.  Setelah maklumat diperoleh , kita perlu mencuba permainan tersebut dengan ahli keluarga.  Kita juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh pertandingan permainan congkak.  Dengan ini, jelaslah bahawa generasi muda perlu mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Ibu bapa pula, perlu memberi sokongan  kepada anak-anak dengan cara membelikan peralatan permainan tradisional.  Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional ini.  Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke muzium dan galeri seni untuk melihat dengan lebih dekat peralatan permainan tradisional ini di samping memahami cara-cara permainan ini dimainkan.  Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini dapat mempopularkan permainan tradisional.

Pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab permainan tradisional.  Dengan tertubuhnya kelab permainan tradisional ini, ahli-ahli kelab dapat menganjurkan pertandingan.  Sekolah juga boleh menghantar ahli-ahli kelab mengikuti kursus permainan tradisional bagi menarik minat pelajar melibatkan diri dalam permainan ini.  Peserta yang mengikuti kursus hendaklah diberi sijil penyertaan  dan penghargaan. Hal ini  jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah berperanan penting untuk mempopularkan permainan tradisional.

Kerajaan perlu mempromosikan permainan tradisional melalui televisyen dan surat khabar.  Usaha ini boleh dilakukan melalui kempen yang berterusan.  Sebagai contoh, kerajaan mengadakan karnival pertandingan tradisional seperti Pesta Layang-layang yang diadakan di Pasir Gudang, Johor setiap tahun. Melalui Kementerian Belia dan Sukan kerajaan boleh mengadakan kursus permainan tradisional ini  untuk golongan belia.  Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja.  Usaha kerajaan ini dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita sekali gus dapat mempopularkan permainan tradisional ini.

Sementara pihak swasta pula boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional ini.  Pihak swasta boleh menjadi penaja bagi pertandingan yang dianjurkan  dengan menyediakan hadiah yang lumayan.  Sebagai contoh, penganjur menyediakan hadiah berbentuk tiket pelancongan ke luar negara kepada para pemenang. Hal ini dapat menarik  penyertaan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya.  Pendek kata, jelaslah bahawa pihak swasta juga memainkan peranan  penting dalam mempopularkan permainan tradisional negara ini.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam mempopularkan permainan tradisional ini .  Usaha yang berterusan penting  supaya generasi akan datang dapat mengenali dan meminati permainan tradisional. Kesannya, permainan tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Usaha mencegah Penyakit


Usaha untuk mencegah penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab individu.




 Ulaskan pernyataan tersebut.

            “Diabetes dalam kalangan masyarakat”
            “Seluruh keluarga menghidap denggi”
            “Serangan jantung punca kematian”

            Begitulah antara tajuk yang sering terpampang di dada-dada akhbar berkaitan dengan penyakit-penyakit yang berbahaya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Antara penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat ialah sakit buah pinggang, strok, diabetes dan zika. Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah melalaikan kita terhadap tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya seperti yang dinyatakan. Majoriti masyarakat menganggap bahawa usaha untuk mencegah penyakit berbahaya adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Namun, adakah kita sedar akan tanggungjawab kita dalam mencegah penyakit berbahaya yang kian meruncing? Belakangan ini, masyarakat bukan sahaja tidak cakna dengan tanggungjawab diri sendiri bahkan sering menuding jari kepada pihak lain seperti kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan ini. Sebagai generasi muda, kita merupakan nadi untuk membendung musibah ini. Persoalannya, apakah tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya dalam  kalangan masyarakat?

            Pihak kerajaan haruslah mengerahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengadakan pemeriksaan tahap kebersihan di kawasan persekitaran penduduk. Tindakan seumpama ini perlu  memandangkan penyakit berbahaya boleh menular dalam kalangan masyarakat disebabkan tahap  kebersihan yang tidak memuaskan. Penyakit berbahaya seperti demam denggi dan zika menular disebabkan oleh terdapat kawasan takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan perlulah mengadakan “fogging” sekurang-kurangnya sebulan sekali selain memohon kerjasama daripada penduduk agar mengadakan pembersihan kawasan rumah mereka, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kesannya, kawasan persekitaran akan menjadi bersih sekali gus dapat mengelakkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes. Seterusnya dapat menghindari daripada penyakit demam denggi dan zika yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat. Tegasnya pemeriksaan tahap kesihatan secara berkala oleh Kementerian Kesihatan dapat mencegah penyakit berbahaya ini dari terus menular.

            Gaya hidup sihat merupakan langkah utama untuk mengatasi wabak penyakit berbahaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, kesihatan individu bergantung kepada corak atau pola pengurusan sistem tubuh yang seimbang dan konsisten.  Pengamalan diet yang tidak seimbang akan mengakibatkan individu menghidap penyakit berbahaya seperti kencing manis..  Seseorang Individu dapat menjamin keperluan vitamin dan serat untuk tubuh yang ideal dengan mempraktikkan sistem piramid makanan dalam amalan pemakanan yang seimbang. Impaknya, tubuh badan akan memperoleh nutrien yang mencukupi untuk membolehkan sel-sel menghasilkan antibodi  yang kuat daripada risiko penyakit berbahaya, bak kata pepatah mencegah lebih baik berbanding mengubati. Intihanya jelaslah bahawa amalan gaya hidup  sihat menjadi faktor perdana dalam usaha bagi individu mengatasi penyakit berbahaya.

            Setiap individu juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah diri daripada penyakit berbahaya seperti membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali. Hal ini demikian kerana, melalui cara ini, individu dapat mengesan penyakit yang sedang dihidapinya lebih awal agar dapat menerima rawatan lanjut bagi mengelakkan daripada lebih memudaratkan. Pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan tahap glukosa dalam darah adalah antara perkara yang sering dilakukan semasa pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit berbahaya. Jika pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala seseorang itu akan dapat mengenal pasti tahap kesihatannya dan sekiranya menghidapi sebarang penyakit berbahaya penyakit tersebut dapatlah dirawat dengan segera. Oleh hal yang demikian, kita tidak akan dibelenggu oleh kesengsaraan penyakit yang lewat diberi rawatan. Mencegah adalah lebih baik dari merawat merupakan satu sikap sentiasa berwaspada terhadap kesejahteraan diri yang telah dianugerahkan oleh Tuhan. Tegasnya, setiap individu haruslah mengambil berat terhadap pemjagaan kesihatan diri agar dapat mencegah diri dari mehidapi penyakit yang berbahaya.

            Kesimpulannya, setiap individu hendaklah mengambil langkah segera demi kesejahteraan diri masing-masing. Sehubungan dengan itu, kita perlu menjauhkan diri daripada melakukan sebarang gejala yang tidak sihat kerana gejala itu mampu memudaratkan kesihatan diri kita. Setiap individu perlu memikul tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin agar masyarakat di negara kita bebas daripada menghidapi  wabak penyakit berbahaya. Setiap individu menginginkan kesihatan yang baik berpanjangan, justeru jauhkanlah diri dari amalan yang buruk tetapi sentiasa membudayakan perkara yang dapat menjamin kesihatan yang baik. Sayangilah diri kerana jasad kita hanya dipinjamkan sementara kehidupan kita di dunia ini. Hargailah diri kerana walaupun memiliki wang berjuta tetapi wang tidak dapat membeli sebuah kesihatan yang sejahtera. Oleh itu , ayuhlah kita memikul amanah yang dikurniakan agar dapat menikmati kesihatan diri yang sejahtera.


Monday, October 31, 2016

Usaha memupuk minat membaca karya sastera


Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat kini semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera

Sedarsawasa yang lalu, karya sastera amat diminati oleh semua bangsa di Tanah Melayu. Karya sastera didefinisikan sebagai wadah atau sarana untuk menyampaikan mesej masyarakat seiring latar masyarakat latar masa. Latar pemikiran sezaman. Karya sastera merupakan karya yang mempunyai daya kreatif yang asli dan tersendiri. Di negara kita, terdapat Sasterawan Negara yang ternama dan terbilang. Saban hari, karya sastera semakin hilang ditelan zaman yang serba canggih dan moden.  Orang ramai yang terdiri daripada golongan dewasa, golongan remaja malahan kanak-kanak pada era ini, dikatakan kurang meminati karya sastera berpunca daripada pelbagai sebab yang berkaitan dengan perkembangan teknologi terkini dan motivasi diri yang rendah terhadap pembacaan. .Justeru pelbagai pihak yang berkaitan perlu mengambil usaha-usaha yang berkesan untuk memupuk minat membaca karya sastera dalam kalangan masyarakat agar karya sastera tidak lupus ditelan zaman.
Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai terutama generasi muda telah memiliki pelbagai bentuk alatan teknologi maklumat dan komunikasi untuk mendapatkan maklumat berbanding mencari maklumat daripada pembacaan. Perkembangan teknologi ini boleh dikatakan antara penyebab minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera? 
            Antara langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh menganjurkan pertandingan mengulas novel-novel karya sasterawan negara berkenaan pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan  para pelajar dapat mengenali dan menghayati pemikiran karyawan-karyawan tersohor tersebut. Karya-karya yang berjaya dilekatkan pada papan kenyataan berserta gambar novel dan penulisnya. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Tegasnya, pihak sekolah khususnya pusat sumber memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
            Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur  mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor  di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
            Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya sastera di seluruh pelosok negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang ramai membaca karya sastera.
            Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga  perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat  berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu.
            Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka  supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
(Karangan ini dipetik daripada modul karangan terbitan PPD Kinta Selatan (2011) dengan sedikit penambahbaikan)


Peranan Ibu Bapa dalam Membudayakan Amalan Menabung


Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.

Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?

Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa. Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi budaya masyarakat kita?

              Tindakan utama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana suasana atau budaya keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. “Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.

            Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi  dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi?  Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak lagi.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat "pengiktirafan"orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka  tidak berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat cermat dalam diri anak-anak.
            “Adat usang pusaka lama”, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung.  Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut, ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.
Pada hakikatnya,   ibu bapa  berperanan  untuk  menunjukkan  contoh  teladan yang baik kepada anak-anak.  Ibu  bapa  sendiri   harus mengamalkan  sikap  menabung.  Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-anak.  Anak-anak  mudah  terikut-ikut  oleh  tingkah  laku ibu  bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan tabiat menabung juga.  Cuba  anda  bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendir iseorang yang boros dan tidak  pandai  menguruskan  wang?   Hal  ini  jelas menunjukkan  betapa pentingnya  imej  yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
            “Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, kawan merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruh anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral agar amalan menabung tidak akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak.
Kesimpulannya, ibu bapa sememangnya memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula menunjukkan “ada padi semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda barakhlak yang merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. “Air bersih, ikannya jernih”.


Thursday, April 21, 2016

Generasi Berwawasan


GENERASI BERWAWAWASAN

OLEH : Muhammad Hasif  (5RKA)

Berikut merupakan teks jawapan Bahasa Melayu 1 Bahagian A  Peperiksaan AwalTahun 2016

     Menghirup udara hasil kemerdekaan negara, telah banyak kejayaan yang dikecapi oleh negara kita dari generasi ke generasi hinggalah ke hari ini. Seiring dengan kejayaan ini juga, kerajaan telah menetapkan garis panduan untuk menjamin sebuah negara maju melalui generasi-generasi yang terpimpin dan berkaliber berpaksikan wawasan yang diterap sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini dikira amat penting untuk memastikan kemaslahatan negara terjamin dengan adanya generasi yang berwawasan yang mampu mentadbir negara dan masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu ada bagi setiap generasi yang berwawasan? Bagi merungkai persoalan ini, saya akan menerangkan secara terperinci tentang ciri –ciri yang perlu ada pada setiap generasi yang berwawasan.
     Ciri-ciri yang perlu ada pada setiap generasi yang berwawasan ialah memiliki semangat patriotik. Hak ini kerana, apabila individu mempunyai semangat patriotik, dapat melahirkan rasa tanggungjawab untuk menabur jasa kepada negara. Contohnya, menyumbangkan tenaga dalam usaha mencapai wawasan sebuah negara yang aman sentosa agar dipandang mulia oleh negara-negara luar. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jelaslah  bahawa semangat patriotik perlu dimiliki oleh generasi berwawasan.
     Selain itu, generasi berwawasan juga hendaklah sentiasa berusaha menuntut ilmu. Hal ini demikian kerana, ilmu amat penting untuk membantu seseorang menentukan hala tuju dan masa depan khususnya dalam alam pekerjaan. Misalnya, seorang peguam perlulah mempunyai kelayakan akademik yang baik dalam jurusan undang-undang. Dari sudut lain, dengan ilmu pengetahuan dapat membantu seseorang beramal dan beribadat dengan sempurna sesuai dengan pepatah arab iaitu ilmu tanpa amal seperti pohon tanpa buah. Justeru, jelaslah bahawa generasi berwawasan perlulah sentiasa berusaha menuntut ilmu.
      Seterusnya, generasi berwawasan mestilah berkemahiran tinggi. Hal ini kerana, kemahiran yang tinggi membolehkan seseorang individu untuk menyelesaikan masalah dengan baik dan profesional. Sebagai contoh, seorang pakar ekonomi dapat membantu menyelesaikan masalah kemelesetan ekonomi dan inflasi dengan adanya kemahiran untuk menganalisis pelbagai statistik untuk mencari punca dan penyelesaiannya. Impaknya, kedudukan ekonomi negara akan lebih stabil untuk bersaing dengan pasaran global. Natijahnya, jelaslah bahawa kemahiran tinggi perlu ada dalam diri generasi berwawasan.
     Di samping itu, generasi berwawasan hendaklah saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah. Hal ini kerana, dengan bekerjasama, sesuatu masalah dapat ditangani dengan lebih mudah. Contohnya, apabila berlaku isu-isu besar seperti banjir yang melibatkan bantuan kewangan dan nasihat, orang ramai dapat memberikan sumbangan tenaga dan materialiti untuk menjamin kemaslahatan bersama. Kesannya, hubungan persaudaraan dapat dieratkan sesame warganegara Malaysia. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Jelaslah bahawa semangat kerjasama perlu dipupuk dalam generasi berwawasan.
     Kesimpulannya, terdapat pelbagai ciri yang dapat dipupuk dalam kalangan generasi berwawasan. Sehubungan itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melahirkan modal insan yang terdidik dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang maju dan aman.


Wednesday, April 20, 2016

Persiapan menghadapi alam pekerjaan



PERSIAPAN-PERSIAPAN UNTUK MENGHADAPI ALAM PEKERJAAN

OLEH : HASIF OTHMAN (5RKA)
(Jawapan Soalan BM 1  Peperiksaan Awal Tahun 2016) 
       Setiap individu mempunyai cita-cita tersendiri yang menjadi impian untuk dicapai suatu ketika nanti.  Kita sedia maklum bahawa setiap peringkat dalam kehidupan seseorang individu berkait rapat dengan keperluan dan kematangan masing-masing dalam menghadapi sesuatu situasi atau konflik. Misalnya peringkat kanak-kanak dan remaja dikaitkan dengan alam persekolahan manakala peringkat dewasa lebih cenderung kepada alam pekerjaan yang pada dasarnya menentukan taraf hidup seseorang individu sama ada mampu menampung keperluan diri, keluarga, dan sebagainya dalam menjalani kehidupan  yang semakin mencabar. Persoalannya, apakah persiapan-persiapan yang wajar dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan. Justeru, bagi merungkai persoalan ini, saya akan menerangkan secara teliti dan terperinci tentang persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan.
     Antara persiapan untuk menghadapi alam pekerjaan adalah berkaitan dengan kelayakan akademik yang sesuai dengan pengkhususan pekerjaan. Hal ini kerana, jika seseorang individu ingin meneceburkan diri dalam sesuatu bidang pekerjaan sudah tentu pihak majikan akan meneliti tentang kemahiran atau kebolehan yang setaraf dengan sektor atau jabatan yang dapat dijawat melalui kelayakan akademiknya. Sebagai contoh, individu yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang perubatan kebiasaannya akan menceburkan diri dalam bidang sama atau berkaitan dengan pengkhususan kemahiran seperti ahli farmasi, doktor pakar, jururawat, pakar bedan dan sebagainya. Kesannya, seseorang individu dapat menumpukan perhatian ketika di bangku sekolah terhadap bidang yang berkaitan dengan pengkhususan pekerjaan yang sesuai dengan cita-citanya agar dapat mengelakkan pengangguran akibat tidak memenuhi kriteria yang sepatutnya ada apabila berkhidmat di bawah sesebuah agensi sama ada kerajaan mahupun swasta. Justeru, jelaslah bahawa kelayakan akademik amat penting bagi seseorang membuat persediaan menempuh alam pekerjaan.
     Selain itu, seseorang individu juga hendaklah bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum memasuki alam pekerjaan. Hal ini demikian kerana, seseorang pekerja seharusnya mempunyai fizikal dan mental yang kuat untuk membolehkan mereka menghadapi tekanan kerja yang boleh memudaratkan bukan sahaja emosi malah kesihatan sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik. Contohnya, sekiranya seseorang individu tidak biasa melaksanakan tugasan-tugasan yang berat dan menguji kesabaran secara tidak langsung dapat menggangu emosi dan fikiran yang bercelaru sehingga satu tahap boleh mengundang penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, migraine, dan sebagainya. Impaknya, apabila individu itu berkhidmat dalam pekerjaan, akan menyukarnya untuk mengekalkan pretasi dan berkemungkinan besar boleh dipecat oleh majikan. Natijahnya, jelaslah bahawa seseorang individu perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki alam pekerjaan.
          Seterusnya, seseorang individu juga hendaklah mempertimbangkan tentang prospek pekerjaan berkaitan bidang yang diceburi. Hal ini kerana, apabila seseorang individu membuat pertimbangan awal berkaitan prospek pekerjaannya membolehkan kadar perbelanjaan dan sumber pendapatan alternatif dapat ditentukan untuk mengelakkan pembaziran masa, wang, dan tenaga. Contohnya, sebelum berkhidmat dalam sesebuah agensi, seseorang individu perlulah menekankan faedah sampingan yang bakal diperoleh selain daripada gaji pokok yang ditawarkan seperti elaun tambahan, bonus, suasana tempat kerja, peluang kenaikan pangkat, jarak ke tempat kerja dan sebagainya agar dapat menjamin kedudukan kewangan yang stabil. Impaknya, individu dapat menyeimbangkan kadar perbelanjaannya sesuai dengan pendapatan yang diperoleh untuk menjamin tabungan dan kejadian luar jangka ketika berkhidmat dalam sesebuah sektor pekerjaan. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya, jelaslah bahawa prospek pekerjaan seseorang individu perlu dipertimbangkan sebelum menceburi alam pekerjaan.
     Di samping itu, persediaan-perssediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan ialah mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Hal ini kerana, apabila seseorang itu mempunyai komunikasi yang baik dapat membantunya menyesuaikan diri dengan suasana tempat kerja melalui khidmat nasihat dan pergaulan yang baik sesama rakan sekerja pada masa yang sama mengelakkan perasaan hasad dengki sesama rakan sekerja. Contohnya, individu yang pandai menjaga tutur kata dan adab sesama rakan akan mudah digauli serta mendapat bimbingan khususnya ketika memasuki alam pekerjaan yang bukan sahaja melibatkan komunikasi sesama rakan sekerja dan majikan, malah para pelanggan, klien, pelabur dan sebagainya bergantung kepada bidang masing-masing. Kesannya, kita dapat memperoleh kepercayaan majikan serta pelanggan dalam memberi komitmen dalam tugasan secara profesional yang dapat dijadikan motivasi atau penggerak untuk berkhidmat dalam sektor yang diceburi. Natijahnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kemahiran berkomunikasi amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
     Sementelahan pula, persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan ialah bijak membahagikan masa. Hal ini demikian kerana seseorang yang dapat membahagikan masa dengan baik dapat mengurangkan risiko menghadapi masalah tekanan akibat prestasi kerja yang tidak selari dengan dengan kitaran biologi seseorang. Misalnya, jika seseorang gagal membahagikan masa kerja dan masa tidur akan menyebabkan produktivitinya menurun berpunca daripada gejala kekurangan tidur semata mata untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Kesannya, seseorang itu akan sukar untuk melengkapi keperluan hidup yang sihat dari segi rohani,jasmani,emosi,dan sebagainya jika tidak membahagi waktu dengan baik kerana pepatah Arab pernah menyebut waktu bagaikan pedang, sekiranya kita tidak memotongnya dia akan memotong kita.  Justeru jelaslah bahawa pengurusan masa amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
        Kesimpulannya, terdapat pelbagai persediaan yang boleh dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan.  Sehubungan itu, semua pihak khususnya individu seharusnya berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam usaha bagi melahirkan generasi yang professional dan syumul dalam pelbagai sektor pekerjaan.Oleh hal yang demikian,diharapkan pelbagai program dan bengkel dapat terus dijalankan untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak muda tentang pelbagai bidang pekerjaan untuk menjana taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi negara.


Sunday, April 17, 2016

Menggembirakan ibu bapa



Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk menggembirakan ibu bapa adalah dengan menjaga nama baik mereka.

Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa anda. 

     Tidak ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat. Ibu bapa juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga malam semata-mata untuk menjaga terutamanya ketika anak-anak sakit. Bagi ibu bapa, tiada detik yang paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak membesar sebagai seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada kita. Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab menggembirakan ibu bapa saya dan menjaga nama baik mereka kerana saya sedar bahawa tiada ibu bapa, tiadalah saya. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya lakukan untuk menjaga nama baik mereka?
     Langkah utama yang akan saya lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa saya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa saya pasti akan gembira apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dalaman sekolah atau peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan , saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru sedang mengajar. Sekiranya saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran tertentu, saya tidak akan malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selain itu , saya akan mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas ketika ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual belajar secara sistematik dan efisyen. Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru akan saya siapkan mengikut ketetapan masa  yang diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat persediaan lebih awal dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar kerana pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan. Kejayaan yang akan saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguh-sungguh ini tentulahkan akan menaikkan nama baik ibu bapa saya. Reputasi ibu bapa saya sebagai contoh dalam kalangan masyarakat akan terselah dan nama baik mereka juga akan terbina. Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.
     Selain itu, untuk menjaga nama baik ibu bapa, saya akan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan dapat membimbing saya menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan memastikan diri saya tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi saya terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak , ponteng sekolah , melakukan vandalime dan melibatkan diri dalam penagihan najis dadah. Saya akan sentiasa berpegang pada pepatah yang menyatakan bahawa “jika kita berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena percikan api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, tubuh badan kita akan turut berbau harum”. Saya juga akan membezakan anatara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik.  Saya akan berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pelajaran agar saya dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya, agar mempunyai semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa saya pasti bersyukur sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang ke muka mereka. Jelasnya , saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak baik agar saya tidak tersilap langkah demi menjaga nama baik ibu bapa saya.
     Di samping itu , bagi menjaga nama baik ibu bapa, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti berasa bangga seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam bidang akademik bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang cemerlang ini tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai seorang anak, saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah lembut terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan tidak sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula, saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng kelas , tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di sekolah dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa dengan mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti bertanya “Anak siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara tidak langsung, ibu bapa saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya dengan baik. Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik terdiri daripada ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.
     Tambahan lagi , saya akan menjaga nama baik ibu bapa dengan manjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga , jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang baik, saya sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun mereka telah meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih sayang dengan ibu bapa saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang mempunyai hubungan bau-bau bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin ini dapat mengeratkan ikatan kekeluaargaan dan tali persaudaraan yang mungkin hampir terputus kerana tinggal berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama lain. Sebagai contohnya, saya akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara dan kaum kerabat saya pada musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Saya yakin hubungan saya ini dapat menjaga nama baik ibu bapa saya kerana menjalinkan hubungan baik dalam kalangan keluarga. Selain itu, saya juga akan menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan mereka, menziarahi mereka sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila mereka memerlukan bantuan  dan mengunjungi rumah mereka pada hari perayaan. Sebagai seorang anggota masyarakat, saya akan menyertai setiap program kemasyarakatan yang dianjukan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal saya. Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri dalam program kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung.Tegasnya, nama baik ibu bapa dapat dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat. Bak kata pepatah,  “hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.”
     Akhir sekali, saya akan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu bapa saya. Sebagai anak yang baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan saya agar saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik. Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama, saya dapat membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan tidak menghampakan harapan mereka terhadap saya , kerana saya sedar, “siapalah saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri , saya akan menghadiri kelas-kelas agam a atau kelas fardhu ain serta majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya kearah melakukan perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik. Tegasnya, didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya praktikkan dalam kehidupan saya supaya saya  dapat membentuk keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama baik ibu bapa saya.
            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama baik ibu bapa atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak yang  hidup di dunia. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat baiklah kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.


Menangani Isu Pencemaran Alam Sekitar



Peranan Pelbagai Pihak Perlu Menangani Isu Pencemaran Alam

Persembahan Kumpulan Siti Fatimah (5RKA SMK Panglima Bukit Gantang

 Seiring dengan pembangunan pesat yang dijalankan di negara ini sejak satu dasawarsa dahulu, negara kita telah menghadapi pelbagai masalah dan halangan dalam usaha menuju ke Wawasan 2020 yang diidam-idamkan. Selama ini, masalah kebersihan awam dan alam sekitar telah berakar umbi di negara ini serta menjadi semakin kronik belakangan ini bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi. Masalah sosial tersebut tidak seharusnya dipandang enteng memandangkan isu tersebut berkait rapat dengan kesihatan rakyat negara ini. Sebab-sebab berlakunya pengabaian kebersihan awam dan alam sekitar hendaklah dikenal pasti supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil demi kesejahteraan hidup sejagat. Sayugia diingatkan bahawa masalah kebersihan awam dan alam sekitar dapat mendatangkan kesan buruk yang tidak diingini terhadap kesihatan rakyat. Secara keseluruhannya, langkah-langkah yang proaktif dan efektif harus diberikan penekanan dalam usaha mengatasi masalah tersebut. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kebersihan awam dan alam sekitar terjamin. Ibu bapa haruslah menitikberatkan didikan agama yang mantap dalam diri kanak-kanak sejak bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua agama menekankan aspek kebersihan dan menegah penganutnya daripada melakukan kekotoran yang akan menjejaskan kemaslahatan awam. Dengan adanya didikan agama yang teguh, insan yang mementingkan kebersihan di tempat awam atau kebersihan alam sekitar dapat dilahirkan. Selain itu, ibu bapa harus menunjukkan perlakuan yang baik dalam aspek kebersihan tanpa mengira di mana jua berada kerana tingkah laku mereka akan menjadi teladan dan ikutan anak-anak mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa tidak seharusnya bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Misalannya, ibu bapa haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah dan menggunakan tandas awam dengan baik. Dengan ini, anak-anak yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang akan mencontohi perbuatan ibu bapa mereka dan akan dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan mereka kerana alah bisa tegal biasa. Jadi, didikan ibu bapa amat penting dalam memastikan kebersihan tempat awam dan alam sekitar terpelihara.

Selain itu, guru juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai kebersihan dalam sanubari para pelajar. Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama yang menekankan pembentukan insan yang berkeperibadian mulia dan murni telah diterapkan dalam sistem pendidikan negara kita. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan mengamalkan nilai kebersihan dalam hidup terutamanya yang melibatkan kemaslahatan umum seperti tandas awam dan kawasan rekreasi. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu menitikberatkan aspek kebersihan di dalam kelas dan di kawasan sekolah di samping menekankan kepentingan penjagaan kebersihan alam sekitar dengan melarang murid daripada membuang sampah di merata-rata tempat. Konsep bersih ini diperluas bukan sahaja di dalam kelas tetapi kepada kehidupan yang lebih menyeluruh. Pihak sekolah dan guru boleh membina taman mini dan landskap supaya keadaan sekolah lebih cantik dan hijau. Mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya obejektif yang dirancang tidak tersasar. Langkah yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat mendidik generasi muda kita tentang kemaslahatan amalan kebersihan.

Peranan media massa juga tidak dapat diketepikan memandangkan media massa seperti radio, televisyen dan suratkhabar mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam kehidupan sehari-hari. Rancangan dan program yang dapat menyemaikan sikap rakyat menjaga kebersihan awam harus disiarkan melalui saluran media bercetak dan media elektronik dari semasa ke semasa untuk menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya kebersihan terhadap kesihatan masyarakat. Kempen-kempen kebersihan awam seperti  Cintailah Sungai Kita dan slogan Negara Bersih Sihat patut digiatkan dan diharapkan dapat membangkitkan kesedaran sivik masyarakat negara ini untuk memelihara kebersihan awam. Kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak media massa perlulah berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan tempat awam. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar dan tempat awam senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat mencapai matlamatnyai apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar. 

            Dalam pada itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta kilang 1974 bagi mengatasi masalah kebersihan awam. Hukuman yang lebih berat harus dijatuhi ke atas mereka yang bersikap bena tak bena terhadap kebersihan awam. Denda wang ringgit nampaknya masih kurang berkesan untuk menyedarkan rakyat negara ini berubah sikap. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan tempat awam masih diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan disertai dengan hukuman yang lebih tegas. Misalannya, negara Singapura telah mengusulkan banyak cadangan yang membina dalam usaha membasmi masalah kebersihan awam. Antaranya ialah rakyat negara itu yang ditangkap membuang sampah sarap atau puntung rokok ke atas lantai di tempat awam akan dikenakan denda yang tinggi di tempat kejadian itu juga oleh pegawai polis yang bertugas. Bagi menjaga maruah diri supaya tidak ditegur atau dikritik ole orang ramai, mereka yang bersalah sudah tidak berani untuk mengulangi perbuatan terkutuk itu di tempat awam. Maka, tidak mustahillah negara Singapura digelar Taman Bandar Raya yang terkenal dengan kebersihannya. Oleh itu, kita harus mencontohi ketegasan undang-undang negara Singapura kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sesungguhnya ketegasan undang-undang mampu melahirkan individu yang menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan 

            Secara tuntas, kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen daripada pelbagai pihak. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik terhadap kebersihan awam perlu dikikis. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewa beliau terhadap sikap rakyat negara ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah melihat keadaan di sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah sarap yang dihinggapi lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya mengamalkan sikap mementingkan kebersihan awam dalam kehidupan sehari-hari. Kebersihan tempat awam sememangnya merupakan aspek yang amat penting untuk menjamin keharmonian sejagat. Kita tentu tidak ingin generasi yang akan datang hidup dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air yang bermikro organisma. Maka, sebelum nasi menjadi bubur, marilah sama-sama kita mempraktikkan kebersihan diri dan lebih penting lagi kebersihan awam demi kesejahteraan hidup pada hari muka!