Usaha untuk mencegah penyakit berbahaya dalam kalangan
masyarakat bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga merupakan
tanggungjawab individu.
Ulaskan pernyataan tersebut.
“Diabetes
dalam kalangan masyarakat”
“Seluruh
keluarga menghidap denggi”
“Serangan
jantung punca kematian”
Begitulah
antara tajuk yang sering terpampang di dada-dada akhbar berkaitan dengan
penyakit-penyakit yang berbahaya dalam kalangan masyarakat di negara kita.
Antara penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat ialah sakit buah pinggang,
strok, diabetes dan zika. Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari
ini telah melalaikan kita terhadap tanggungjawab setiap individu untuk mencegah
penyakit berbahaya seperti yang dinyatakan. Majoriti masyarakat menganggap
bahawa usaha untuk mencegah penyakit berbahaya adalah tanggungjawab kerajaan
semata-mata. Namun, adakah kita sedar akan tanggungjawab kita dalam mencegah
penyakit berbahaya yang kian meruncing? Belakangan ini, masyarakat bukan sahaja
tidak cakna dengan tanggungjawab diri sendiri bahkan sering menuding jari
kepada pihak lain seperti kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan ini.
Sebagai generasi muda, kita merupakan nadi untuk membendung musibah ini.
Persoalannya, apakah tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit
berbahaya dalam kalangan masyarakat?
Pihak
kerajaan haruslah mengerahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi
mengadakan pemeriksaan tahap kebersihan di kawasan persekitaran penduduk.
Tindakan seumpama ini perlu memandangkan penyakit berbahaya boleh
menular dalam kalangan masyarakat disebabkan tahap kebersihan yang
tidak memuaskan. Penyakit berbahaya seperti demam denggi dan zika menular
disebabkan oleh terdapat kawasan takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk
aedes. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan perlulah mengadakan “fogging”
sekurang-kurangnya sebulan sekali selain memohon kerjasama daripada penduduk
agar mengadakan pembersihan kawasan rumah mereka, bak kata pepatah berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing. Kesannya, kawasan persekitaran akan menjadi
bersih sekali gus dapat mengelakkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes.
Seterusnya dapat menghindari daripada penyakit demam denggi dan zika yang boleh
menjejaskan kesihatan masyarakat. Tegasnya pemeriksaan tahap kesihatan secara
berkala oleh Kementerian Kesihatan dapat mencegah penyakit berbahaya ini dari
terus menular.
Gaya
hidup sihat merupakan langkah utama untuk mengatasi wabak penyakit berbahaya.
Hal ini dikatakan demikian kerana, kesihatan individu bergantung kepada corak
atau pola pengurusan sistem tubuh yang seimbang dan
konsisten. Pengamalan diet yang tidak seimbang akan mengakibatkan
individu menghidap penyakit berbahaya seperti kencing
manis.. Seseorang Individu dapat menjamin keperluan vitamin dan
serat untuk tubuh yang ideal dengan mempraktikkan sistem piramid makanan dalam
amalan pemakanan yang seimbang. Impaknya, tubuh badan akan memperoleh nutrien
yang mencukupi untuk membolehkan sel-sel menghasilkan antibodi yang
kuat daripada risiko penyakit berbahaya, bak kata pepatah mencegah lebih baik
berbanding mengubati. Intihanya jelaslah bahawa amalan gaya
hidup sihat menjadi faktor perdana dalam usaha bagi individu
mengatasi penyakit berbahaya.
Setiap
individu juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah diri
daripada penyakit berbahaya seperti membuat pemeriksaan kesihatan
sekurang-kurangnya 6 bulan sekali. Hal ini demikian kerana, melalui cara ini,
individu dapat mengesan penyakit yang sedang dihidapinya lebih awal agar dapat
menerima rawatan lanjut bagi mengelakkan daripada lebih memudaratkan.
Pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan tahap glukosa dalam darah adalah
antara perkara yang sering dilakukan semasa pemeriksaan kesihatan bagi mengesan
penyakit berbahaya. Jika pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala
seseorang itu akan dapat mengenal pasti tahap kesihatannya dan sekiranya
menghidapi sebarang penyakit berbahaya penyakit tersebut dapatlah dirawat
dengan segera. Oleh hal yang demikian, kita tidak akan dibelenggu oleh
kesengsaraan penyakit yang lewat diberi rawatan. Mencegah adalah lebih baik
dari merawat merupakan satu sikap sentiasa berwaspada terhadap kesejahteraan
diri yang telah dianugerahkan oleh Tuhan. Tegasnya, setiap individu haruslah
mengambil berat terhadap pemjagaan kesihatan diri agar dapat mencegah diri dari
mehidapi penyakit yang berbahaya.
Kesimpulannya,
setiap individu hendaklah mengambil langkah segera demi kesejahteraan diri
masing-masing. Sehubungan dengan itu, kita perlu menjauhkan diri daripada
melakukan sebarang gejala yang tidak sihat kerana gejala itu mampu memudaratkan
kesihatan diri kita. Setiap individu perlu memikul tanggungjawab mereka dengan
sebaik mungkin agar masyarakat di negara kita bebas daripada
menghidapi wabak penyakit berbahaya. Setiap individu menginginkan
kesihatan yang baik berpanjangan, justeru jauhkanlah diri dari amalan yang
buruk tetapi sentiasa membudayakan perkara yang dapat menjamin kesihatan yang
baik. Sayangilah diri kerana jasad kita hanya dipinjamkan sementara kehidupan
kita di dunia ini. Hargailah diri kerana walaupun memiliki wang berjuta tetapi
wang tidak dapat membeli sebuah kesihatan yang sejahtera. Oleh itu , ayuhlah
kita memikul amanah yang dikurniakan agar dapat menikmati kesihatan diri yang
sejahtera.
No comments:
Post a Comment