Minat untuk
membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat kini semakin berkurangan.
Bincangkan
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera
Sedarsawasa yang
lalu, karya sastera amat diminati oleh semua bangsa di Tanah Melayu. Karya
sastera didefinisikan sebagai wadah atau sarana untuk menyampaikan mesej
masyarakat seiring latar masyarakat latar masa. Latar pemikiran sezaman. Karya
sastera merupakan karya yang mempunyai daya kreatif yang asli dan tersendiri.
Di negara kita, terdapat Sasterawan Negara yang ternama dan terbilang. Saban
hari, karya sastera semakin hilang ditelan zaman yang serba canggih dan
moden. Orang ramai yang terdiri daripada golongan dewasa, golongan
remaja malahan kanak-kanak pada era ini, dikatakan kurang meminati karya
sastera berpunca daripada pelbagai sebab yang berkaitan dengan perkembangan
teknologi terkini dan motivasi diri yang rendah terhadap pembacaan. .Justeru
pelbagai pihak yang berkaitan perlu mengambil usaha-usaha yang berkesan untuk
memupuk minat membaca karya sastera dalam kalangan masyarakat agar karya
sastera tidak lupus ditelan zaman.
Pada zaman
berteknologi tinggi ini, orang ramai terutama generasi muda telah memiliki
pelbagai bentuk alatan teknologi maklumat dan komunikasi untuk mendapatkan
maklumat berbanding mencari maklumat daripada pembacaan. Perkembangan teknologi
ini boleh dikatakan antara penyebab minat untuk membaca karya-karya sastera
dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak
kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman
Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh
dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa
yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya
sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya,
apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik
minat orang ramai untuk membaca karya sastera?
Antara
langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai
membaca karya sastera termasuklah peranan Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber
Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel ‘Ranjau
Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar
Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh
Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber
boleh menganjurkan pertandingan mengulas novel-novel karya sasterawan negara
berkenaan pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan para pelajar
dapat mengenali dan menghayati pemikiran karyawan-karyawan tersohor tersebut.
Karya-karya yang berjaya dilekatkan pada papan kenyataan berserta gambar novel
dan penulisnya. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera
akan semakin bertambah. Tegasnya, pihak sekolah khususnya pusat sumber
memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya
sastera.
Selain
itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik
minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan
tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca
sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini,
hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat
dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat
kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk
dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan
bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh
menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka.
Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak
sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku.
Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi
dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau
puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang
tersohor di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya
sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu,
media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah
menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai
contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat
melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan
masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran.
Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan
karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu,
orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan
lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan
teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera.
Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang
ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya,
pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati
karya sastera di seluruh pelosok negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang
untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula,
pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi
memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk
dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar
cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku
tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang
untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak
kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera.
Akhir
sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih
banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak
penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai
genre sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran setimpal dan
berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk
melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang
bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat berkongsi
pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah
penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai
penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas
tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai
membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati
terbuka supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang
hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia
haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan
warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
(Karangan ini
dipetik daripada modul karangan terbitan PPD Kinta Selatan (2011) dengan
sedikit penambahbaikan)
No comments:
Post a Comment