Sunday, November 6, 2016

Cara-Cara Mempopularkan Permainan Tradisional


TAJUK                   :               PERMAINAN TRADISIONAL
TUGASAN            :               CARA-CARA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL
FORMAT              :               TIADA

ISI-ISI PENTING :

Individu mencari maklumat berkaitan permainan tradisional
Ibu bapa beri sokongan kepada anak-anak
Peranan pihak sekolah yang menubuhkan kelab permainan tradisional
Peranan kerajaan melalui media massa
Peranan pihak swasta

CONTOH KARANGAN  (YANG MUDAH - SESUAI UNTUK KATEGORI MURID PENCAPAIAN SEDERHANA)

Permainan tradisional ialah permainan yang dimainkan oleh masyarakat dahulu pada masa lapang.  Antara permainan tradisional yang mendapat sambutan masyarakat ialah layang-layang, congkak dan batu seremban.  Namun demikian, permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda.   Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mempopularkan permainan tradisional ini.

Antara cara mempopularkan permainan tradisional ini ialah kita perlu mencari maklumat tentang  permainan tradisional tersebut.  Setelah maklumat diperoleh , kita perlu mencuba permainan tersebut dengan ahli keluarga.  Kita juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh pertandingan permainan congkak.  Dengan ini, jelaslah bahawa generasi muda perlu mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Ibu bapa pula, perlu memberi sokongan  kepada anak-anak dengan cara membelikan peralatan permainan tradisional.  Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional ini.  Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke muzium dan galeri seni untuk melihat dengan lebih dekat peralatan permainan tradisional ini di samping memahami cara-cara permainan ini dimainkan.  Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini dapat mempopularkan permainan tradisional.

Pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab permainan tradisional.  Dengan tertubuhnya kelab permainan tradisional ini, ahli-ahli kelab dapat menganjurkan pertandingan.  Sekolah juga boleh menghantar ahli-ahli kelab mengikuti kursus permainan tradisional bagi menarik minat pelajar melibatkan diri dalam permainan ini.  Peserta yang mengikuti kursus hendaklah diberi sijil penyertaan  dan penghargaan. Hal ini  jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah berperanan penting untuk mempopularkan permainan tradisional.

Kerajaan perlu mempromosikan permainan tradisional melalui televisyen dan surat khabar.  Usaha ini boleh dilakukan melalui kempen yang berterusan.  Sebagai contoh, kerajaan mengadakan karnival pertandingan tradisional seperti Pesta Layang-layang yang diadakan di Pasir Gudang, Johor setiap tahun. Melalui Kementerian Belia dan Sukan kerajaan boleh mengadakan kursus permainan tradisional ini  untuk golongan belia.  Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja.  Usaha kerajaan ini dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita sekali gus dapat mempopularkan permainan tradisional ini.

Sementara pihak swasta pula boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional ini.  Pihak swasta boleh menjadi penaja bagi pertandingan yang dianjurkan  dengan menyediakan hadiah yang lumayan.  Sebagai contoh, penganjur menyediakan hadiah berbentuk tiket pelancongan ke luar negara kepada para pemenang. Hal ini dapat menarik  penyertaan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya.  Pendek kata, jelaslah bahawa pihak swasta juga memainkan peranan  penting dalam mempopularkan permainan tradisional negara ini.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam mempopularkan permainan tradisional ini .  Usaha yang berterusan penting  supaya generasi akan datang dapat mengenali dan meminati permainan tradisional. Kesannya, permainan tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

No comments:

Post a Comment