PERSIAPAN-PERSIAPAN UNTUK MENGHADAPI ALAM PEKERJAAN
OLEH : HASIF OTHMAN (5RKA)
(Jawapan Soalan BM 1 Peperiksaan Awal Tahun
2016)
Setiap individu
mempunyai cita-cita tersendiri yang menjadi impian untuk dicapai suatu ketika
nanti. Kita sedia maklum bahawa setiap peringkat dalam kehidupan
seseorang individu berkait rapat dengan keperluan dan kematangan masing-masing
dalam menghadapi sesuatu situasi atau konflik. Misalnya peringkat kanak-kanak
dan remaja dikaitkan dengan alam persekolahan manakala peringkat dewasa lebih
cenderung kepada alam pekerjaan yang pada dasarnya menentukan taraf hidup
seseorang individu sama ada mampu menampung keperluan diri, keluarga, dan
sebagainya dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar.
Persoalannya, apakah persiapan-persiapan yang wajar dilakukan untuk menghadapi
alam pekerjaan. Justeru, bagi merungkai persoalan ini, saya akan menerangkan
secara teliti dan terperinci tentang persediaan-persediaan yang perlu dilakukan
untuk menghadapi alam pekerjaan.
Antara persiapan untuk
menghadapi alam pekerjaan adalah berkaitan dengan kelayakan akademik yang
sesuai dengan pengkhususan pekerjaan. Hal ini kerana, jika seseorang individu
ingin meneceburkan diri dalam sesuatu bidang pekerjaan sudah tentu pihak
majikan akan meneliti tentang kemahiran atau kebolehan yang setaraf dengan
sektor atau jabatan yang dapat dijawat melalui kelayakan akademiknya. Sebagai contoh,
individu yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang perubatan kebiasaannya
akan menceburkan diri dalam bidang sama atau berkaitan dengan pengkhususan
kemahiran seperti ahli farmasi, doktor pakar, jururawat, pakar bedan dan
sebagainya. Kesannya, seseorang individu dapat menumpukan perhatian ketika di
bangku sekolah terhadap bidang yang berkaitan dengan pengkhususan pekerjaan
yang sesuai dengan cita-citanya agar dapat mengelakkan pengangguran akibat
tidak memenuhi kriteria yang sepatutnya ada apabila berkhidmat di bawah
sesebuah agensi sama ada kerajaan mahupun swasta. Justeru, jelaslah bahawa
kelayakan akademik amat penting bagi seseorang membuat persediaan menempuh alam
pekerjaan.
Selain itu, seseorang individu
juga hendaklah bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum memasuki alam
pekerjaan. Hal ini demikian kerana, seseorang pekerja seharusnya mempunyai
fizikal dan mental yang kuat untuk membolehkan mereka menghadapi tekanan kerja
yang boleh memudaratkan bukan sahaja emosi malah kesihatan sekiranya tidak
dapat ditangani dengan baik. Contohnya, sekiranya seseorang individu tidak
biasa melaksanakan tugasan-tugasan yang berat dan menguji kesabaran secara
tidak langsung dapat menggangu emosi dan fikiran yang bercelaru sehingga satu
tahap boleh mengundang penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, migraine,
dan sebagainya. Impaknya, apabila individu itu berkhidmat dalam pekerjaan, akan
menyukarnya untuk mengekalkan pretasi dan berkemungkinan besar boleh dipecat
oleh majikan. Natijahnya, jelaslah bahawa seseorang individu perlulah bersedia
dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki alam pekerjaan.
Seterusnya,
seseorang individu juga hendaklah mempertimbangkan tentang prospek pekerjaan
berkaitan bidang yang diceburi. Hal ini kerana, apabila seseorang individu
membuat pertimbangan awal berkaitan prospek pekerjaannya membolehkan kadar
perbelanjaan dan sumber pendapatan alternatif dapat ditentukan untuk
mengelakkan pembaziran masa, wang, dan tenaga. Contohnya, sebelum berkhidmat
dalam sesebuah agensi, seseorang individu perlulah menekankan faedah sampingan
yang bakal diperoleh selain daripada gaji pokok yang ditawarkan seperti elaun
tambahan, bonus, suasana tempat kerja, peluang kenaikan pangkat, jarak ke
tempat kerja dan sebagainya agar dapat menjamin kedudukan kewangan yang stabil.
Impaknya, individu dapat menyeimbangkan kadar perbelanjaannya sesuai dengan
pendapatan yang diperoleh untuk menjamin tabungan dan kejadian luar jangka
ketika berkhidmat dalam sesebuah sektor pekerjaan. Bak kata pepatah sediakan
payung sebelum hujan. Tuntasnya, jelaslah bahawa prospek pekerjaan seseorang
individu perlu dipertimbangkan sebelum menceburi alam pekerjaan.
Di samping itu,
persediaan-perssediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan
ialah mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Hal ini kerana, apabila
seseorang itu mempunyai komunikasi yang baik dapat membantunya menyesuaikan
diri dengan suasana tempat kerja melalui khidmat nasihat dan pergaulan yang
baik sesama rakan sekerja pada masa yang sama mengelakkan perasaan hasad dengki
sesama rakan sekerja. Contohnya, individu yang pandai menjaga tutur kata dan
adab sesama rakan akan mudah digauli serta mendapat bimbingan khususnya ketika
memasuki alam pekerjaan yang bukan sahaja melibatkan komunikasi sesama rakan
sekerja dan majikan, malah para pelanggan, klien, pelabur dan sebagainya
bergantung kepada bidang masing-masing. Kesannya, kita dapat memperoleh
kepercayaan majikan serta pelanggan dalam memberi komitmen dalam tugasan secara
profesional yang dapat dijadikan motivasi atau penggerak untuk berkhidmat dalam
sektor yang diceburi. Natijahnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kemahiran
berkomunikasi amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Sementelahan pula, persediaan-persediaan
yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan ialah bijak membahagikan
masa. Hal ini demikian kerana seseorang yang dapat membahagikan masa dengan
baik dapat mengurangkan risiko menghadapi masalah tekanan akibat prestasi kerja
yang tidak selari dengan dengan kitaran biologi seseorang. Misalnya, jika
seseorang gagal membahagikan masa kerja dan masa tidur akan menyebabkan
produktivitinya menurun berpunca daripada gejala kekurangan tidur semata mata
untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Kesannya, seseorang itu akan sukar
untuk melengkapi keperluan hidup yang sihat dari segi rohani,jasmani,emosi,dan
sebagainya jika tidak membahagi waktu dengan baik kerana pepatah Arab pernah
menyebut waktu bagaikan pedang, sekiranya kita tidak memotongnya dia akan
memotong kita. Justeru jelaslah bahawa pengurusan masa amat penting
sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Kesimpulannya,
terdapat pelbagai persediaan yang boleh dilakukan untuk menghadapi alam
pekerjaan. Sehubungan itu, semua pihak khususnya individu seharusnya
berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam usaha bagi melahirkan generasi
yang professional dan syumul dalam pelbagai sektor pekerjaan.Oleh hal yang
demikian,diharapkan pelbagai program dan bengkel dapat terus dijalankan untuk
memberikan pendedahan kepada anak-anak muda tentang pelbagai bidang pekerjaan
untuk menjana taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment