Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk
menggembirakan ibu bapa adalah dengan menjaga nama baik mereka.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk
menjaga nama baik ibu bapa anda.
Tidak ada ibu bapa di
dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup berkorban apa-apa
sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat. Ibu bapa juga
sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga malam semata-mata untuk menjaga
terutamanya ketika anak-anak sakit. Bagi ibu bapa, tiada detik yang paling
menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak membesar sebagai
seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Sebagai seorang anak yang
bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan
membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan
daripada kita. Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab menggembirakan ibu
bapa saya dan menjaga nama baik mereka kerana saya sedar bahawa tiada
ibu bapa, tiadalah saya. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus
saya lakukan untuk menjaga nama baik mereka?
Langkah utama yang akan saya
lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa saya adalah dengan belajar
bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa saya
pasti akan gembira apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan dalaman sekolah atau peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan
dalam peperiksaan , saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru
sedang mengajar. Sekiranya saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran
tertentu, saya tidak akan malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah
menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat
jalan. Selain itu , saya akan mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan
bersama-sama rakan sekelas ketika ada masa yang terluang. Saya juga akan
menyediakan jadual belajar secara sistematik dan efisyen. Semua kerja rumah
yang diberikan oleh guru akan saya siapkan mengikut ketetapan
masa yang diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat
persediaan lebih awal dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menghadapi
peperiksaan yang sebenar kerana pepatah menyatakan sediakan payung
sebelum hujan. Kejayaan yang akan saya peroleh hasil usaha saya yang
bersungguh-sungguh ini tentulahkan akan menaikkan nama baik ibu bapa saya.
Reputasi ibu bapa saya sebagai contoh dalam kalangan masyarakat akan terselah
dan nama baik mereka juga akan terbina. Jelasnya, saya akan belajar
bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang untuk menjaga nama
baik ibu bapa saya.
Selain itu, untuk menjaga nama
baik ibu bapa, saya akan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan
dapat membimbing saya menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat
apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan memastikan diri saya
tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi saya
terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak , ponteng sekolah
, melakukan vandalime dan melibatkan diri dalam penagihan najis dadah. Saya
akan sentiasa berpegang pada pepatah yang menyatakan bahawa “jika kita
berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena
percikan api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi,
tubuh badan kita akan turut berbau harum”. Saya juga akan membezakan
anatara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Saya akan
berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pelajaran agar saya dapat
bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini penting bagi
menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya, agar mempunyai semangat dan
motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa saya pasti bersyukur
sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan sesuatu yang boleh
menconteng arang ke muka mereka. Jelasnya , saya akan bergaul dengan
rakan-rakan yang berakhlak baik agar saya tidak tersilap langkah demi menjaga
nama baik ibu bapa saya.
Di samping itu , bagi menjaga
nama baik ibu bapa, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar
tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti berasa bangga
seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi
bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam bidang
akademik bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang
cemerlang ini tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai
seorang anak, saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah
lembut terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan
tidak sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan
seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula,
saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya
akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng
kelas , tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar
sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di
sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat
perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di
sekolah dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa
dengan mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti bertanya “Anak
siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara tidak langsung, ibu bapa
saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya dengan baik.
Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik terdiri daripada
ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.
Tambahan lagi , saya akan
menjaga nama baik ibu bapa dengan manjalinkan hubungan yang baik dengan ahli
keluarga , jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang
baik, saya sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara
yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun
mereka telah meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih sayang dengan
ibu bapa saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang mempunyai
hubungan bau-bau bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin
ini dapat mengeratkan ikatan kekeluaargaan dan tali persaudaraan yang mungkin
hampir terputus kerana tinggal berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama
lain. Sebagai contohnya, saya akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak
saudara dan kaum kerabat saya pada musim perayaan atau majlis kenduri-kendara.
Saya yakin hubungan saya ini dapat menjaga nama baik ibu bapa saya kerana
menjalinkan hubungan baik dalam kalangan keluarga. Selain itu, saya juga akan
menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan
mereka, menziarahi mereka sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila
mereka memerlukan bantuan dan mengunjungi rumah mereka pada hari perayaan.
Sebagai seorang anggota masyarakat, saya akan menyertai setiap program
kemasyarakatan yang dianjukan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal saya.
Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri dalam program
kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya saya akan
bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program
kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka
dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung.Tegasnya, nama baik
ibu bapa dapat dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan
yang baik dengan masyarakat setempat. Bak kata pepatah, “hidup
kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.”
Akhir sekali, saya akan
sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu bapa
saya. Sebagai anak yang baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam
kehidupan saya agar saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta
dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara
yang tidak baik. Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama, saya dapat
membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan
kejayaan saya pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa
dan tidak menghampakan harapan mereka terhadap saya , kerana saya sedar, “siapalah
saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya
terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan
kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri ,
saya akan menghadiri kelas-kelas agam a atau kelas fardhu ain serta
majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya kearah melakukan
perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran yang
boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik. Tegasnya,
didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya praktikkan dalam
kehidupan saya supaya saya dapat membentuk keperibadian yang baik
dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama baik ibu bapa saya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama baik ibu bapa
atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak
yang hidup di dunia. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua remaja
dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan jangan sesekali
melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang boleh
menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh
dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat
baiklah kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat
kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
No comments:
Post a Comment