Tuesday, April 21, 2020

Siapa Muhammad Azlan Al Amin

SEIMBAS TENTANG SIAPA MUHAMMAD AZLAN AL AMIN

dipetik daripada fb Pahrol Mohamad Juoi
18.04.2020

[Mohon izin Ustaz Pahrol Mohamad Juoi untuk saya siarkan semula rencana yang tersiar dalam fb Ustaz untuk dipaparkan dalam blog saya. Tujuan petikan diambil sekadar untuk dikongsikan kisah Saudara Muhammad Azlan AlAmin yang patut diketahui oleh semua lapisan masyarakat terutama generasi muda. Semoga dapat memberi manfaat]

Muhammad Azlan Al Amin, lahir 33 tahun yang lalu di Kampung Tok Raja dalam daerah Besut Terengganu.Tepatnya pada selasa 23/9/1987
Ditakdirkan lahir dalam sebuah keluarga termiskin di daerahnya bersama-sama 21 adik-beradiknya (seibu-sebapa) yang lain. Kemiskinan, cercaan dan penghinaan sudah menjadi basahann hidupnya sejak kecil.
Namun beliau bertuah kerana punya ibu yang sangat penyayang dan kuat berpegang kepada nilai-nilai agama. Daripada ‘air tangan’ didikan ibu itulah Muhammad Azlan membesar menjadi seorang insan yang sabar, gigih, kuat kemahuan, cepat bertindak dan tahan lasak.
Buku Kisah hidup Azlan
  TIDAK CEMERLANG AKADEMIK.
Muhammad Azkan bukanlah seorang yang pandai dalam bidang akademik. Pencapaian akademiknya sangat sederhana. Mungkin kerana belitan kemiskinannya, beliau sudah menggalas tanggungjawab untuk mencari rezeki buat menampung keluarganya sejak di bangku sekolah lagi. Namun, itu bukanlah bererti beliau tidak bijak. Bijak, pandai dan cerdik berbeza. Pandai dibentuk hasil menulis dan membaca. Tetapi bijaksana ditempa oleh kemahiran berfikir dan jiwa yang merasa.
Lalu Muhammad Azlan belajar tentang kearifan dan erti hidup ini daripada universiti kehidupan. Anak muda ini berani berbeza,dan berani mencuba. Bila jatuh, dia bangun lagi. Bukan sekali, malah berkali-kali. Inilah siri ‘peperiksaan’ yang telah dilaluinya!
Pernah digantung pengajian semasa belajar di sekolah Menengah, kemudian gagal dalam peperiksaan STPM pada tahun 2007 dan akhirnya terkandas pengajian peringkat diploma di Kolej KIST Bachok Kelantan, tetapi anak muda ini sepertinya telah diprogramkan untuk menimba ilmu dan pengalaman melalui cara yang berbeza dan unik.
 UNIVERSITI KEHIDUPAN
Bukan di bawah naungan kelas atau dewan kuliah tertutup ,tetapi di kelas dan universiti kehidupan yang lebih luas dan terbuka. Guru dan pensyarahnya terdiri daripada pelbagai golongan. Kurikulum dan subjek pelajarannya tidak terhad, tersukat dan terbatas. Rotan dan dendanya ialah kesedihan dan kepedihan.
Kekentalan hati, malah adakalanya kedegilan diri, tidak menghalang beliau menimba ilmu daripada sesiapa sahaja. Beliau mengambil panduan dan didikan daripada alim ulama, kasih sayang dan cinta daripada kedua ibu-bapa, bantuan dan dokongan daripada adik-beradik dan saudara mara, motivasi dan ilmu daripada guru-guru, hiburan dan gurauan daripada sahabat-sahabat... Resipi inilah yang membina karektor anak muda yang sentiasa ‘laparkan’ kejayaan ini.
Manusia dengan tadbirnya, tetapi Allah dengan takdirNya. Itu satu prinsip yang dipegang kukuh oleh Muhammad Azlan. Kalimah, “ berdamailah dengan takdir” selalu terluah daripada bibirnya. Baginya, hanya dengan berdamai dengan masa silam, kita mampu melangkah ke masa depan dengan penuh berani dan yakin. Selagi iman dan harapan masih bersemi dalam hati, selagi itulah buah kejayaan dunia dan akhirat akan terhasil buat diri hamba yang bertaqwa.
Dia, insyaAllah yakin dengan hakikat itu. Justeru, seluruh tadbirnya direbahkan di persada takdir melalui sabar dan solat, pembacaan Al Quran, Tahajud, Dhuha dan sedekah. Hujung akal, datanglah tawakal.
 DEWASA KETIKA REMAJA
Beliau pernah bekerja seorang pembancuh air, kelindan lori, pengutip sampah dan pelbagai kerja lagi yang dianggap kotor, bahaya dan sukar .
Walaupun begitu azamnya untuk merubah hidup diri dan keluarga terus membara bahkan semakin menyala-naya. Angin kesusahan dan penderitaan itu seolah-olah meniup lagi semangatnya untuk terus kembali bangun setiap kali jatuh. Ya, benarlah seperti yang dikatakan, bukan serendah mana kita jatuh, tetapi setinggi mana kita melonjak semula selepas setiap kali jatuh.
Itulah jiwa Muhammad Azlan Al Amin, lelaki berambut pendek dan berjanggut tebal ini. Raut wajahnya yang garang boleh tiba-tiba boleh jadi redup apabila dia tersenyum apalagi menangis apabila nuraninya tersentuh.
Dia berazam untuk menukar air mata ibunya yang jatuh apabila melihat ulat-ulat keluar dari bajunya setiap pulang bekerja sebagai pengutip sampah menjadi senyum gembira dan ceria. Rumah buruk mereka dengan atap yang bocor di sana sini tempat mereka sekeluarga berteduh selama ini ingin ditukarnya menjadi ‘mahligai’ yang selesa pada suatu hari nanti.
Begitulah tekad dan azam yang dibina oeleh anak muda ini setiap kali dia dan adik-beradiknya tidur ditimpa titisan air setiap kali hujan melanda teratak buruk mereka.
Muhamad Azlan telah bebrapa kali berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk mencuba nasib. Dia ‘berhijrah’ dari zon tidak selesanya kepada zon yang lebih tidak selesa untuk mencipta peluang. Namun, peluang yang diciptanya sering tidak menjadi. Bayangkan kebun jagung yang pernah diusahakan punah dipukul ribut apabila saat menuai tiba. Dan apabila kebun menjadi pula, dia ditipu oleh pihak ketiga yang bersikap ‘janji tidak serupa bikin’.
Dia bukan sahaja pernah dihina bahkan pernah diperalatkan oleh pihak yang berkepentingan. Malah, ketika bunga kejayaannya mula mekar sebagai seorang usahawan muda, tiba-tiba menjadi kuncup apabila dia ditipu jutaan ringgit oleh manusia yang licik.
Tetapi apakah semua itu menyebabkan dia patah hati? Tidak. Ya , sebagai manusia dia juga rasa sedih dan adakalanya rasa marah dan kecewa. Tetapi semua itu tudak menyekat langkahnya untuk terus menuju kejayaan. Kemarahan, kekecewaan dan kesedihannya sebaliknya ‘dimafaatkan’ untuk membakar lentera hatinya untuk mencuba sekali lagi dengan lebih bijaksana. Kegagalan adalah peluang untuk memulakan sekali lagi dengan lebih terancang dan berhati-hati.
Kini dia mula mengenal siapa kawan, siapa lawan, yang mana perangkap, yang mana peluang.
Detik yang merubah hidupnya bermula apabila dia melangkah keluar daripada rumahnya pada suatu malam di bulan Ramadan tahun 2010 dengan berbekal wang RM 1.30 sen pemberian ibunya. Dia pergi dengan niat tidak akan kembali lagi selagi tidak bersama kejayaan untuk dihadiahkan kepada ibunya.
 TEKAD DAN NEKAD
Pada malam itulah dia ‘membakar jambatan’ kemustahilan. Walaupun langkah kakinya masih kabur tetapi langkah hatinya sudah tekad dan nekad untuk mencari satu yang lebih tepat berbanding apa yang telah dibuatnya sebeum itu.
Pada malam Ramadan itu, di sebuah wakaf di tengah sawah, dalam kegelapan malam, dia menangis dan bermunajat... bertemankan kesunyian.
Ketika pintu-pintu di dunia sudah tertutup, pintu ke langit lapang terluang. Begitu kata Dr Hamka, ulama sekaligus pujangga besar itu. Jarak antara masalah kita dan jalan penyelesaiannya hanyalah antara dahi dengan tempat sujud kita. Sujud dan mendekatlah, Allah lebih besar daripada masalah mu! Manusia yang paling gagah ialah manusia yang paling mengaku lemah di hadapan Allah.
Lalu terbukalah hijab dan turunlah pertolongan Allah.
Hari-hari seterusnya adalah hari-hari yang penuh makna buatnya apabila dia bertemu bekas guru persekolahan, Cikgu Halim. Esok, lusa, mentari mula bersinar apabila.
 MULA BERNIAGA
Muhammad Azlan memulakan karier sebagai penjual lot-lot tanah milik bekas gurunya itu. Bidang itu sungguh asing, sungguh berbeza daripada bidang-bidang yang diceburi olehnya sebelum ini... Namun, manusia melihat dari kacamata yang terbatas, tetapi Allah punya kurnia yang tidak terbatas. Satu hadiah besar sedang menanti buat insan yang sudah lama menderita itu.
Sejak itulah putaran roda kehidupan buat Muhamamad Azlan mula berubah. Daripada komisen hasil jualannya, dia mula merancang perniagaan hartanahnya sendiri. Tahun demi tahun. Bukan sedikit air mata dan keringat yang tumpah. Tidak ada jalan pintas menuju kejayaan.
Akhirnya beliau berjaya menjadi seorang jutawan dan hartawan dalam bidang hartanah melalui syarikat perniagaannya sendiri: Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd.
Hartanah miliknya semakin bertambah. Dia mula dikenali dikalangan ahli perniagaan, kakitangan kerjaan dan swasta, pasukan keselamatan khususnya PDRM dan lain-lain.
Anak muda yang bermula dari ‘zero’ ini telah bertukar menjadi ‘hero’. Bukan melalui jalan lobi, rasuah, ampu, bodek dan sebagainya tetapi melalui jerih payah yang memakan masa bertahun-tahun.
Ya, kini Muhammad Azlan sudah mencapai apa yang diidamkannya sejak dulu. Air mata ibu sudah ditukar menjadi senyum. Teratak lama sudah berubah menjadi rumah yang selesa buat diri dan keluarga. Dia tidak lagi menjadi pengutip sisa makanan di tong-tong sampah buat keluarga.
 JIWA SEORANG PEJUANG
Sekarang, apakah dia patut berhenti? Rupa-rupanya tidak. Anak muda ini meneruskan lagi langkahnya. Jika berjuang untuk diri, dia boleh berhenti, tetapi dia berjuang untuk ummah. Qanaah, hanya buat diri. Tetapi pemurah untuk orang lain.
Walaupun dia telah memberi infak yang sudah sekian banyak untuk madrasah tahfiz, rumah-rumah anak yatim, sekolah-sekolah, orang-orang fakir dan miskin, tetapi hatinya belum puas... mana mungkin ada nokhtah pada sebuah kebaikan. Lalu dia mencari lagi, bukan hanya semata-mata untuk mencari tetapi untuk memberi!
Golongan yang miskin dibantu,yang lemah dibela dan yang terpingir diketengahkan.Beliau turut menjadi hero masyarakat dan wira yang tidak perlu didendang.
Beliau menjadi idola dan ikon anak anak muda untuk berjaya.Kelibatnya ditunggu,kehadirannya dinanti,dan perkongsian Inspirasi darinya nyata mampu membangkitkan semangat yang lesu.Beliau ialah saksi hidup yang menjadi bukti tentang sebuah kejayaan.
MENUBUHKAN KOPERASI AZLAN AL AMIN.
Terbaru beliau mengorak langkah besar dengan dengan menubuhkan sebuah Koperasi: KOPERASI AZLAN AL AMIN BERHAD. Niatnya, cuma untuk menjadi baik dan memberi kebaikan atas peranan sebagai hamba Allah dan Khlalifah di bumi. Dia yakin koperasi adalah wadah yang dilihatnya mempunyai capaian dan jangkauan yang lebih jauh dan tinggi untuk memberi manfaat kepada umat.
Dia mula mengumpul ahli-ahli koperasi daripada pelbagai latar belakang, merancang projek, menyusun pelbagai kemahiran dan bakat, daripada seluruh lapisan masyarakat untuk digembeling demi satu cita-cita – membina ekonomi ummat Islam, agar Islam kuat dan berdaulat untuk memayungi seluruh masyarakat, Islam dan bukan Islam.
Langkah besar ini telah dimulakan dan insyaAllah, dengan niat, usaha dan doa yang berkekalan, usaha ini akan berjaya. Amin.
Tentang anak muda berjiwa pejuang ini,tidak cukup hanya sehelai kertas jika mahu menulis pemikirannya,keberaniannya memecahkan kata kemustahilan,dan prinsip hidup yang dijulangnya! Namun setidaknya,setitik dakwat yang dikongsi ini diharapkan menjadi manfaat.
Ya,beliau juga manusia biasa yang bukanlah sempurna.Beliau juga perlukan nasihat juga sokongan doa.Tapi kita mesti membaca dari pandangan yang putih agar kita beroleh kebaikan dalam diri seseorang.
Sunggguh ketika dia memintaku menjadi gurunya,membimbing dan menasihatinya bagai seorang ayah dan guru,aku merasakan kerdil diri ini lantaran aku sendiri insan lemah di sisiNya.Namun demi mengilap permata ini buat ummah,aku sangup dan aku rela selamanya kerana Allah.
Inilah seimbas kisah Muhamad Azlan Al Amin, ditulis oleh insan kerdil ini (Pahrol Mohamad Juoi) atas kesedaran mana mungkin Muhamad Azlan Al Amin akan menulis kisahnya sendiri. Sejak dulu sudah maktub : Orang yang mencipta sejarah, tidak akan sempat menulis sejarah!
Oleh : Pahrol Mohamad Juoi
18/4/2020

No comments:

Post a Comment