Monday, April 6, 2020

Minda Lestari : Pembangunan Negara dan Pemuliharaan Alam Sekitar

Pengarang: Zaini Ujang
2009
410 muka surat
RM 55.00
Bidang Umum
Terbitan : Penerbit UTM

Zaini Ujang merupakan antara pemikir dan aktivis intelektual tempatan yang sering kali mengemukakan gagasan dan cadangan untuk memastikan alam sekitar berada pada tahap yang lebih lestari dan berkualiti. Dengan latar belakang sebagai ahli akademik dan pakar yang amat arif tentang persoalan alam sekitar, justeru pandangan yang termuat dalam buku ini penting dan relevan dalam konteks pelestarian alam sekitar secara lebih komprehensif dan futuristic
Minda Lestari menyediakan bahan segar bagi tatapan golongan pencinta alam dan mereka yang prihatin terhadap pelestarian alam sekitar. Masyarakat umum boleh menjadikan Minda Lestari ini sumber rujukan penting, kerana penulisnya bukan sahaja membicarakan soal isu dan kaedah penyelesaian secara yang mudah difahami, bahkan lebih dari itu, penulisnya juga menyelitkan unsur-unsur idealisme, kerangka dan cara berfikir selari dengan inisiatif pelestarian alam sekitar dalam pelbagai dimensi dan perspektif.

Minda Lestari merungkaikan maksud serlahannya tentang pemikiran, gaya fikir dan disiplin akliah yang menjadikan kesejahteraan masyarakat sebagai matlamat pembangunan menerusi alam sekitar yang bersih dan selamat, sistem dan pengurusan yang cekap, dan dasar serta amalan gaya hidup selari dengan fitrah insaniah.
Minda Lestari juga berkaitan dengan pemikiran atau minda kelas pertama. Memupuk minda kelas pertama juga adalah salah satu teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Minda kelas pertama bermakna pemikiran dan sikap yang progresif, maju dan proaktif yang membentuk budaya dan amalan hidup yang berkualiti yang setanding dengan bangsa dan negara maju.

Minda Lestari turut menjawab persoalan-persoalan alam sekitar secara tuntas. Minda Lestari bukan buku teks, sebaliknya rantaian gagasan idea yang diungkapkan mengikut perkembangan isu semasa dan keperluan masyarakat. Malah Minda Lestari juga adalah catatan peristiwa yang dilalui penulis dalam konteks sumbangan kecil memajukan pemikiran dan gaya hidup selari dengan pelestarian pembangunan dan alam sekitar.

Dengan memiliki naskah ini dan seterusnya mengikuti segala idea yang dilontarkan mampu menjana idea ke arah kesedaran betapa daifnya kita selama ini menghargai alam sekitar ciptaan Allah dengan membiarkan kemusnahan demi kemusnahan, yang implikasinya kembali kepada manusia itu sendiri.
Buku ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat bukan sekadar untuk warga menara gading, tetapi elok juga ditelaah oleh guru-guru di sekolah, tok-tok guru yang mengajar di surau dan masjid, pak-pak menteri, orang-orang suratkhabar dan sebagainya agar terjahan pandangan dan teguran dapat disebar luas kepada semua lapisan masyarakat. Hal ini amat perlu agar tidaklah segala idealisme saudara Zaini hanya sekadar menebalkan buku sahaja.

No comments:

Post a Comment