Monday, November 7, 2016

Kemalangan Jalan Raya


TEMA                   :              KEMALANGAN JALAN RAYA
TUGASAN           :              USAHA-USAHA UNTUK MENGURANGKAN KADAR
         KEMALANGAN DI JALAN RAYA.

ISI-ISI PENTING :

Pengguna perlu mematuhi peraturan jalan raya.
Ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak ketika berada di jalan raya.
Sekolah memperkenalkan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya.
Media massa menyiarkan  dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.
Kerajaan  menjalankan kempen-kempen secara berterusan.

CONTOH KARANGAN .
              
Kemalangan jalan raya sering berlaku di negara kita. Setiap hari, kita boleh membaca berita berkaitan kemalangan di  surat khabar. Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada musim perayaan. Banyak nyawa yang telah terkorban dalam kemalangan tersebut. Terdapat pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya..

Antara usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah pemandu mesti memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik. Mereka perlu sentiasa menghantar kenderaan masing-masing untuk diservis. Kenderaan yang baik boleh menjamin keselamatan pemandu dan penumpang ketika di jalan raya. Sebaliknya, kenderaan yang tidak diservis boleh mengakibatkan kenderaan tidak dapat dikawal semasa berlaku kecemasan. Sebagai contoh, kenderaan yang rosak breknya tidak dapat diberhentikan dengan selamat..Oleh itu,keadaan kenderaan yang baik dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Selain itu,ibu bapa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya seperti memakai topi keledar ketika menunggang motosikal. Ibu bapa juga perlu memandu kenderaan mengikut had laju yang ditetapkan. .Dengan itu,anak-anak akan mencontohi amalan yang baik itu. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sememangnya berperanan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sekolah juga mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Sekolah boleh melaksanakan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya. Para pelajar akan diberi pendedahan tentang  hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya sejak kecil lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seterusnya, mereka akan menggunakan ilmu yang dipelajari di sekolah dan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah. Oleh itu, pendidikan di sekolah boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Di samping itu,media massa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Media massa seperti televisyen boleh menyiarkan dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya. Penonton akan menjadikan peristiwa kemalangan yang ditonton sebagai pengajaran. Dengan itu,mereka tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan jalan raya seperti memandu dengan laju dan menggunakan  telefon ketika memandu. Tindakan ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.

Seterusnya, kerajaan boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah dengan mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya secara berterusan.. Antara kempen yang telah diadakan ialah Kempen Berhati-hati di Jalan Raya. Kempen ini sangat penting untuk mengubah sikap pemandu agar lebih berhati-hati di jalan raya. Kempen ini boleh dijalankan di sekolah dan disiarkan melalui televisyen. Oleh itu,melalui kempen yang berterusan yang dijalankan oleh kerajaan  dapat mengurangkan kemalangan jalan raya.

Kesimpulannya,kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kadar kemalangan  jalan raya boleh dielakkan dengan wujudnya kerjasama daripada pelbagai pihak. Setiap pihak bertanggungjawab melaksanakan usaha-usaha tersebut dengan bersungguh-sungguh. Dengan ini, kemalangan sifar dapat dijadikan kenyataan. Hal ini bertepatan dengan slogan,Pandu Cermat Jiwa Selamat.

Sunday, November 6, 2016

Menghargai Warga Tua


TEMA                    :               MENGHARGAI WARGA TUA
TUGASAN            :               CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA

ISI-ISI PENTING :

Peranan keluarga – menyayangi warga tua
Peranan masyarakat – mengambil berat warga tua
Peranan media massa – memaparkan kisah hidup/penderitaan warga tua
Peranan guru – mengingatkan pelajar menghormati warga tua
Peranan kerajaan – menyediakan kemudahan kesihatan untuk warga tua

CONTOH KARANGAN - YANG MUDAH (Sesuai untuk murid pencapaian sederhana)
                                                                                                                              
Warga tua merupakan golongan yang paling berjasa kepada negara. Mereka telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.

Keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan kita dan bapa pula mencari rezeki untuk membesarkan kita. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua dan tidak menghantar mereka ke rumah orang tua-tua.

Di sekolah,guru boleh menasihatkan pelajar agar menghormati warga tua. Warga tua  yang terdiri daripada ibu bapa kita perlu disayangi dan dihormati. Anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka kerana syurga teletak di telapak kaki ibu.

Kerajaan juga perlu menghargai warga tua. Kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua akan mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta.

Media massa seperti surat khabar dan televisyen boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan hidup warga tua. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua..      

Pihak swasta  perlu   membantu warga tua. Mereka boleh mengutip derma untuk mengurangkan beban warga tua manakala kunjungan ke rumah orang tua-tua dapat mengeratkan hubungan .Warga tua akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa  dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan kita dan membesarkan kita


Usaha-usaha Memantapkan Hubungan Kekeluargaan


TAJUK                   :               HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG AKRAB
TUGASAN            :               USAHA-USAHA MEMANTAPKAN HUBUNGAN
                                               KEKELUARGAAN

ISI-ISI PENTING :

Memberitahu ibu bapa sebelum keluar dari rumah
Ibu bapa menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga
Peranan masyarakat
Peranan media massa
Peranan kerajaan melalui dasar tertentu


CONTOH KARANGAN - YANG MUDAH (Sesuai untuk murid pencapaian sederhana)

Hubungan kekeluargaan sangat penting.  Hubungan ini penting bagi melahirkan keluarga bahagia. Hal ini sekali gus dapat menangani gejala sosial. Pelbagai  usaha perlu diambil untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Antara usahanya ialah anak-anak perlu memberitahu  ibu bapa sebelum keluar rumah.  Hal ini demikan supaya anak –anak mendapat keizinan daripada ibu bapa sebelum keluar rumah terutama dalam menuntut ilmu. Hal ini memudahkan ibu bapa mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan. Oleh yang demikian anak-anak perlu memberitahu ibu bapa sebelum mereka keluar dari rumah.

Selain itu, ibu bapa hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin keluarga.  Mereka hendaklah sentiasa berbincang bersama anak-anak jika ada sebarang masalah.  Sebagai contoh, jika akan-anak berhadapan dengan masalah pelajaran, mereka perlu berbincang bersama-sama bagi mengatasinya. Amalan makan bersama-sama dengan ahli keluarga juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Tegasnya, ibu bapa perlu menjalankan tangunggjawab mereka dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.

Masyarakat turut memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.  Antaranya, adalah dengan mengadakan hari keluarga dan temasya sukan. Hal ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menjalinkan kerjasama antara ahli keluarga semasa pertandingan. Dengan ini, jelaslah bahawa masyarakat penting dalam usaha merapatkan hubungan kekeluargaan.

Di samping itu, peranan media massa juga penting untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.  Hal ini boleh dilakukan melalui iklan di televisyen dan surat khabar.  Sebagai contoh, terdapat iklan yang menggalakkan ahli keluarga berhubung melalui telefon bimbit.  Terdapat juga  iklan yang mempengaruhi orang ramai supaya  balik ke kampung pada hari-hari perayaan.  Oleh itu jelaslah bahawa media massa memainkan peranan penting  untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Kerajaan pula telah memperkenalkan  dasar bahawa setiap hari sabtu sebagai cuti umum.  Hal ini bertujuan agar ibu bapa dapat meluangkan masa bersama-sama dengan ahli keluarga.  Langkah ini akan menjadikan hubungan kekeluargaan lebih erat.  Sebagai contoh, ibu bapa membawa ahli keluarga pergi melancong ke tempat yang menarik di negara ini. Hal ini bertepatan dengan Kempen Cuti-Cuti Malaysia.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam merapatkan hubungan kekeluargaan . Usaha ini penting kerana hubungan kekeluargaan yang baik  dapat  mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga. Seterusnya, mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan  melahirkan rakyat yang penyayang.


Cara-Cara Mempopularkan Permainan Tradisional


TAJUK                   :               PERMAINAN TRADISIONAL
TUGASAN            :               CARA-CARA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL
FORMAT              :               TIADA

ISI-ISI PENTING :

Individu mencari maklumat berkaitan permainan tradisional
Ibu bapa beri sokongan kepada anak-anak
Peranan pihak sekolah yang menubuhkan kelab permainan tradisional
Peranan kerajaan melalui media massa
Peranan pihak swasta

CONTOH KARANGAN  (YANG MUDAH - SESUAI UNTUK KATEGORI MURID PENCAPAIAN SEDERHANA)

Permainan tradisional ialah permainan yang dimainkan oleh masyarakat dahulu pada masa lapang.  Antara permainan tradisional yang mendapat sambutan masyarakat ialah layang-layang, congkak dan batu seremban.  Namun demikian, permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda.   Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mempopularkan permainan tradisional ini.

Antara cara mempopularkan permainan tradisional ini ialah kita perlu mencari maklumat tentang  permainan tradisional tersebut.  Setelah maklumat diperoleh , kita perlu mencuba permainan tersebut dengan ahli keluarga.  Kita juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh pertandingan permainan congkak.  Dengan ini, jelaslah bahawa generasi muda perlu mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Ibu bapa pula, perlu memberi sokongan  kepada anak-anak dengan cara membelikan peralatan permainan tradisional.  Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional ini.  Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke muzium dan galeri seni untuk melihat dengan lebih dekat peralatan permainan tradisional ini di samping memahami cara-cara permainan ini dimainkan.  Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini dapat mempopularkan permainan tradisional.

Pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab permainan tradisional.  Dengan tertubuhnya kelab permainan tradisional ini, ahli-ahli kelab dapat menganjurkan pertandingan.  Sekolah juga boleh menghantar ahli-ahli kelab mengikuti kursus permainan tradisional bagi menarik minat pelajar melibatkan diri dalam permainan ini.  Peserta yang mengikuti kursus hendaklah diberi sijil penyertaan  dan penghargaan. Hal ini  jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah berperanan penting untuk mempopularkan permainan tradisional.

Kerajaan perlu mempromosikan permainan tradisional melalui televisyen dan surat khabar.  Usaha ini boleh dilakukan melalui kempen yang berterusan.  Sebagai contoh, kerajaan mengadakan karnival pertandingan tradisional seperti Pesta Layang-layang yang diadakan di Pasir Gudang, Johor setiap tahun. Melalui Kementerian Belia dan Sukan kerajaan boleh mengadakan kursus permainan tradisional ini  untuk golongan belia.  Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja.  Usaha kerajaan ini dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita sekali gus dapat mempopularkan permainan tradisional ini.

Sementara pihak swasta pula boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional ini.  Pihak swasta boleh menjadi penaja bagi pertandingan yang dianjurkan  dengan menyediakan hadiah yang lumayan.  Sebagai contoh, penganjur menyediakan hadiah berbentuk tiket pelancongan ke luar negara kepada para pemenang. Hal ini dapat menarik  penyertaan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya.  Pendek kata, jelaslah bahawa pihak swasta juga memainkan peranan  penting dalam mempopularkan permainan tradisional negara ini.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam mempopularkan permainan tradisional ini .  Usaha yang berterusan penting  supaya generasi akan datang dapat mengenali dan meminati permainan tradisional. Kesannya, permainan tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Usaha mencegah Penyakit


Usaha untuk mencegah penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab individu.




 Ulaskan pernyataan tersebut.

            “Diabetes dalam kalangan masyarakat”
            “Seluruh keluarga menghidap denggi”
            “Serangan jantung punca kematian”

            Begitulah antara tajuk yang sering terpampang di dada-dada akhbar berkaitan dengan penyakit-penyakit yang berbahaya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Antara penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat ialah sakit buah pinggang, strok, diabetes dan zika. Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah melalaikan kita terhadap tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya seperti yang dinyatakan. Majoriti masyarakat menganggap bahawa usaha untuk mencegah penyakit berbahaya adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Namun, adakah kita sedar akan tanggungjawab kita dalam mencegah penyakit berbahaya yang kian meruncing? Belakangan ini, masyarakat bukan sahaja tidak cakna dengan tanggungjawab diri sendiri bahkan sering menuding jari kepada pihak lain seperti kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan ini. Sebagai generasi muda, kita merupakan nadi untuk membendung musibah ini. Persoalannya, apakah tanggungjawab setiap individu untuk mencegah penyakit berbahaya dalam  kalangan masyarakat?

            Pihak kerajaan haruslah mengerahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengadakan pemeriksaan tahap kebersihan di kawasan persekitaran penduduk. Tindakan seumpama ini perlu  memandangkan penyakit berbahaya boleh menular dalam kalangan masyarakat disebabkan tahap  kebersihan yang tidak memuaskan. Penyakit berbahaya seperti demam denggi dan zika menular disebabkan oleh terdapat kawasan takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan perlulah mengadakan “fogging” sekurang-kurangnya sebulan sekali selain memohon kerjasama daripada penduduk agar mengadakan pembersihan kawasan rumah mereka, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kesannya, kawasan persekitaran akan menjadi bersih sekali gus dapat mengelakkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes. Seterusnya dapat menghindari daripada penyakit demam denggi dan zika yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat. Tegasnya pemeriksaan tahap kesihatan secara berkala oleh Kementerian Kesihatan dapat mencegah penyakit berbahaya ini dari terus menular.

            Gaya hidup sihat merupakan langkah utama untuk mengatasi wabak penyakit berbahaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, kesihatan individu bergantung kepada corak atau pola pengurusan sistem tubuh yang seimbang dan konsisten.  Pengamalan diet yang tidak seimbang akan mengakibatkan individu menghidap penyakit berbahaya seperti kencing manis..  Seseorang Individu dapat menjamin keperluan vitamin dan serat untuk tubuh yang ideal dengan mempraktikkan sistem piramid makanan dalam amalan pemakanan yang seimbang. Impaknya, tubuh badan akan memperoleh nutrien yang mencukupi untuk membolehkan sel-sel menghasilkan antibodi  yang kuat daripada risiko penyakit berbahaya, bak kata pepatah mencegah lebih baik berbanding mengubati. Intihanya jelaslah bahawa amalan gaya hidup  sihat menjadi faktor perdana dalam usaha bagi individu mengatasi penyakit berbahaya.

            Setiap individu juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah diri daripada penyakit berbahaya seperti membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya 6 bulan sekali. Hal ini demikian kerana, melalui cara ini, individu dapat mengesan penyakit yang sedang dihidapinya lebih awal agar dapat menerima rawatan lanjut bagi mengelakkan daripada lebih memudaratkan. Pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan tahap glukosa dalam darah adalah antara perkara yang sering dilakukan semasa pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit berbahaya. Jika pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala seseorang itu akan dapat mengenal pasti tahap kesihatannya dan sekiranya menghidapi sebarang penyakit berbahaya penyakit tersebut dapatlah dirawat dengan segera. Oleh hal yang demikian, kita tidak akan dibelenggu oleh kesengsaraan penyakit yang lewat diberi rawatan. Mencegah adalah lebih baik dari merawat merupakan satu sikap sentiasa berwaspada terhadap kesejahteraan diri yang telah dianugerahkan oleh Tuhan. Tegasnya, setiap individu haruslah mengambil berat terhadap pemjagaan kesihatan diri agar dapat mencegah diri dari mehidapi penyakit yang berbahaya.

            Kesimpulannya, setiap individu hendaklah mengambil langkah segera demi kesejahteraan diri masing-masing. Sehubungan dengan itu, kita perlu menjauhkan diri daripada melakukan sebarang gejala yang tidak sihat kerana gejala itu mampu memudaratkan kesihatan diri kita. Setiap individu perlu memikul tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin agar masyarakat di negara kita bebas daripada menghidapi  wabak penyakit berbahaya. Setiap individu menginginkan kesihatan yang baik berpanjangan, justeru jauhkanlah diri dari amalan yang buruk tetapi sentiasa membudayakan perkara yang dapat menjamin kesihatan yang baik. Sayangilah diri kerana jasad kita hanya dipinjamkan sementara kehidupan kita di dunia ini. Hargailah diri kerana walaupun memiliki wang berjuta tetapi wang tidak dapat membeli sebuah kesihatan yang sejahtera. Oleh itu , ayuhlah kita memikul amanah yang dikurniakan agar dapat menikmati kesihatan diri yang sejahtera.