KEPENTINGAN BANGUNAN BERSEJARAH KEPADA NEGARA
Bangunan bersejarah merupakan antara bahan sejarah yang begitu
penting. Oleh itu, kerajaan telah bertindak memelihara dan memulihara bangunan
ini.
Pada pendapat anda, apakah kepentingan bangunan ini kepada negara?
.....Bangunan bersejarah merupakan bangunan peninggalan daripada
leluhur kita. Bangunan bersejarah lazimnya mempunyai signifikan dan ciri-ciri
yang unik sehingga mampu dikagumi dan dilestarikan. Antara contoh bangunan
bersejarah ialah Kota A’ Famosa di Melaka, Istana Menanti di Negeri Sembilan,
dan Candi Lembah Bujang di Kedah. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan
bangunan bersejarah ini sehingga perlu dikekalkan oleh kerajaan?
.....Antara kepentingannya adalah dapat menarik kedatangan
pelancong. Bangunan bersejarah sememangnya mempunyai tarikan yang tersendiri,
sehingga mampu memancing hati pelancong, bukan sahaja pelancong asing, malahan
pelancong domestik. Lihatlah, betapa Kota Melaka yang terkenal dengan bangunan
bersejarah yang berbagai-bagai rupa menyebabkan kunjungan pelancong ke Bandar
raya Bersejarah itu tidak pernah surut. Disebabkan negeri ini mempunyai banyak
bangunan bersejarah, UNESCO telah mengisytiharkannya sebagai harta warisan
dunia yang perlu dipelihara. Secara tidak langsung, pengekalannya telah
membantu negara menambahkan pendapatan negara.
.....Selain itu, bangunan bersejarah juga dapat mempamerkan estika
dan keunikan seni binanya yang tersendiri. Sesungguhnya, setiap monumen
bersejarah mempunyai gaya seni bina masing-masing, sama ada menerima pengaruh
luar mahu pun dibina berdasarkan pengaruh tempatan. Misalnya, Bangunan Sultan
Abdul Samad yang terletak di depan Dataran Merdeka jelas memperlihatkan
keindahan seni binanya melalui pengaruh Inggeris dan Islam. Uniknya, bangunan
ini mempunyai menara jam yang didirikan di tengah-tengah bangunan. Begitu juga
dengan bangunan Stesen Kereta api Tanah Melayu di Kuala Lumpur yang jelas
menonjolkan ciri-ciri seni bina Islam melalui kubahnya seperti masjid.
.....Di samping itu, bangunan ini juga dapat mengimbau kembali
sejarah negara. Dengan masih berdiri megahnya bangunan yang dibina semasa zaman
penjajahan yang membawa air mata sengara dan derita, membolehkan masyarakat
menginsafi perjuangan datuk nenek moyang kita yang bermatian-matian sehingga
mengalirkan darah, bak kata peribahasa, ‘biar putih tulang, jangan putih mata’.
Kota A’ Famosa umpamanya, mengingatkan kita Tanah Melayu dijajah pada tahun
1511 oleh Portugis dan menjadi penanda aras berakhirnya zaman kemilangan
Kesultanan Melayu Melaka. Dengan ini, kita akan lebih berhati-hati dalam
menjaga kemerdekaan negara daripada dicabul oleh bangsa asing.
.....Bukan itu sahaja, bangunan ini juga dapat menonjolkan
identiti sesuatu masyarakat. Biasanya, untuk mempersembahkan jati diri dan
keunikan sesuatu kaum akan ditonjolkan melalui seni bina. Tamsilnya, Istana
Menanti di Negeri Sembilan begitu jelas mempamerkan jati diri masyarakatnya
yang dikatakan berasal daripada bangsa Minang. Lihatlah, bentuk bumbungnya yang
mempunyai pengaruh Minangkabau. Tidak ketinggalan, Candi Lembah Bujang di Kedah
juga memperlihatkan betapa penduduk zaman itu mempunyai pegangan yang kuat
terhadap agama anutannya, iaitu agama Hindu.
.....Secara totalnya, bangunan bersejarah sememangnya membawa 1001
kepentingan kepada negara serta masyarakat seluruhnya. Oleh itu, semua pihak
perlu sedar akan peranan masing-masing dalam usaha mengekalkan struktur dan
nilai bangunan ini daripada dimusnahkan. Ahli sejarawan ada berkata, “Orang
yang melupakan sejarah pasti mengulanginya.”. Oleh itu, peliharalah bangunan
bersejarah supaya episod lara yang pernah dibawa oleh Portugis, British,
Belanda, dan Jepun tidak berulang semula. Tidak bermakna bangunan yang telah
berusia berates-ratus tahun ini perlu dirobohkan kerana dianggap sudah uzur.
Sebaliknya, pewartaannya sebagai bangunan warisan perlu dilakukan oleh kerajaan
dengan segera.
Dipetik daripada Roslan Daud at
http://tinta-kencana.blogspot.my/2011/09/kepentingan-bangunan-bersejarah-kepada.html
up : En Roslan diambil untuk perkongsian dengan murid-murid
No comments:
Post a Comment