TEMA : SEMANGAT KEJIRANAN
TUGASAN
: COGAN KATA ” JIRAN
SEPAKAT MEMBAWA BERKAT ”
ISI-ISI PENTING :
Memupuk hubungan baik antara jiran
Memupuk nilai kerjasama
Membantu jiran yang menghadapi kesusahan
Menjamin keselamatan masyarakat
Mengenali adat budaya kaum yang lain
CONTOH KARANGAN (Yang mudah, sesuai untuk murid pencapaian
sederhana)
Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita.
Jiran sangat penting kerana mereka menjadi sahabat dan orang yang rapat dengan
kita. Mereka akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan. Oleh itu,
jiran sepakat membawa berkat perlu diamalkan oleh masyarakat hari ini.
Jiran penting untuk memupuk hubungan baik antara jiran.
Hubungan baik dapat dipupuk melalui aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti
ini, mereka dapat berkenalan dan bertanya khabar antara satu sama lain.
Kesannya, hubungan sesama jiran semakin erat. Kerjasama yang erat ini
bertepatan dengan peribahasa seperti aur dengan tebing. Jelaslah, kerjasama
penting untuk memupuk hubungan yang baik antara jiran.
Selain itu, jiran juga dapat memupuk nilai kerjasama sesama
jiran. Nilai kerjasama ini penting untuk melahirkan masyarakat yang sepakat.
Setiap individu akan membantu jiran mereka semasa mengadakan majlis seperti
kenduri-kendara. Aktiviti akan menjadi mudah kerana muafakat membawa
berkat. Oleh itu, nilai kerjasama
penting dalam amalan kejiranan.
Di samping itu, jiran yang baik akan membantu orang lain
yang menghadapi kesusahan. Mereka akan menziarahi jiran yang sakit. Mereka juga
akan memberi bantuan wang ringgit untuk meringankan beban jiran. Mereka dapat
menyelesaikan banyak masalah. Sesungguhnya, amalan baik ini seperti kata
pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Seterusnya, jiran juga dapat menjamin keselamatan
masyarakat. Jiran akan bersama-sama menjaga kawasan kediaman daripada kejadian
pecah rumah. Mereka boleh membuat rondaan pada waktu malam bagi mengelakkan
kejadian yang tidak diingini. Selain itu, mereka akan melaporkan kejadian
tersebut kepada pihak polis. Jelaslah, jiran dapat menjamin keselamatan
masyarakat setempat.
Akhirnya, jiran dapat mengenali adat dan budaya kaum yang
lain. Pada musim perayaan, kita dapat mengenali pakaian tradisional kaum yang
lain seperti sari, baju kurung dan lain-lain. Mereka juga boleh menikmati
pelbagai jenis makanan tradisi. Selain itu, adat resam sesuatu kaum dapat
diketahui oleh jiran yang berlainan kaum. Oleh itu, kita perlu mengenali adat
dan budaya jiran.
Kesimpulannya, jiran sepakat membawa berkat penting dalam
masyarakat. Semua pihak hendaklah mengamalkan semangat kejiranan. Amalan ini
perlu diteruskan demi memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat.