7 Cara Menarik Minat Murid Lemah Belajar
Arus pendidikan telah mengalami perubahan yang sangat pesat
seiring dengan zaman yang kian maju. Generasi kini sudah banyak berubah,
berbeza dengan generasi dahulu. Seiring dengan perubahan ini, sewajarnya kaedah
mengajar juga harus diubahsuai dengan keadaan semasa.
Cabaran ini juga termasuklah apabila mengendalikan
murid-murid yang lemah dalam sesi pembelajaran. Terdapat banyak cara yang boleh
dilakukan untuk menarik minat murid lemah supaya dapat belajar dengan baik.
1. Tahu gaya pembelajaran mereka.
Ini merupakan faktor yang paling penting dalam memastikan
murid-murid dapat menerima apa yang hendak diajar kepada mereka. Terdapat tiga jenis gaya belajar yang utama
iaitu visual, auditori dan kinestetik. Walaupun setiap orang mempunyai
ketiga-tiga jenis gaya ini namun seseorang itu mempunyai satu gaya yang dominan
dalam diri mereka. Setiap gaya belajar ini mempunyai cara pendekatan yang
berbeza. Guru perlu mengenali gaya belajar setiap murid di dalam kelasnya dan
menyesuaikan dengan kaedah yang hendak digunakannya.
2. Menggunakan pelbagai kaedah yang berbeza.
Murid yang lemah biasanya mempunyai daya tumpuan yang
kurang. Ini menyebabkan mereka cepat bosan dengan apa yang dipelajari. Mereka
sewajarnya di ajar dengan menggunakan pelbagai medium yang berbeza. Jika satu
sesi pembelajaran mempunyai pelbagai kaedah yang berbeza, minda murid belum
sempat merasa bosan dengan sesuatu ia telah diperkenalkan dengan sesuatu yang
baru. Ini dapat mengurangkan rasa bosan mereka dan dapat menarik minat mereka
untuk belajar. Adalah lebih baik jika guru dapat mengajar dengan berfokuskan
bahan bantu mengajar. Bahan tersebut mestilah kreatif dan menggunakan warna
yang cerah untuk menarik minat mereka. Selain itu, masa yang diperuntukkan
untuk sesuatu aktiviti janganlah terlalu panjang, dan jika ia perlu memakan
masa yang panjang sebaiknya diselangkan dengan masa rehat untuk mengelakkan
mereka mudah hilang tumpuan. Jika sebelum ini kita hanya belajar di dalam
kelas, apa kata kita ke luar kelas, belajar sambil melihat suasana yang berbeza.
3. Menerangkan tentang kegunaan ilmu yang mereka pelajari.
Kadang-kadang murid merasa tidak minat atau bosan dengan apa yang
mereka pelajari adalah kerana mereka tidak mengetahui kegunaan ilmu yang mereka
pelajari. Mereka hanya mengetahui bahawa mereka perlu belajar kerana disuruh
oleh ibubapa mereka atau bagi mereka ia adalah rutin yang perlu mereka lalui
seperti rutin-rutin yang lain. Guru yang baik adalah guru yang mampu
menjelaskan kepada anak muridnya tentang apa yang boleh mereka aplikasikan
dengan apa yang mereka pelajari. Contohnya, jika murid mengetahui dengan jelas
kepentingan belajar matematik untuk membantu mereka dalam sukatan yang betul
untuk membuat kek pasti murid yang minat membuat kek akan lebih bersemangat
untuk mempelajari ilmu tersebut.
4. Melibatkan pengalaman yang sebenar.
Murid-murid yang didedahkan dengan pengalaman yang sebenar akan
lebih faham berbanding dengan murid-murid yang hanya belajar secara teori
semata-semata. Cara ini lebih berkesan terutamanya untuk generasi sekarang yang
hanya mengetahui sesuatu hanya di hujung jari. Sebagai contoh untuk belajar
ukuran kilogram, jika guru membawa alat penimbang dan menimbang bahan di depan
murid, pastinya akan lebih difahami dan diingati berbanding jika guru hanya
memberitahunya secara lisan. Ia akan jadi lebih menarik jika guru mengadakan
kelas membuat kek dan sambil mengajar sambil mengajar sukatan ukuran.
5. Menyediakan ganjaran yang menarik minat murid.
Jika pembelajaran disertai dengan ganjaran yang mampu menarik
minat murid ia pasti akan lebih berkesan. Dua jenis ganjaran yang biasa
diberikan adalah dalam bentuk peneguhan positif dan peneguhan negatif.
Peneguhan positif adalah seperti pujian atau memberikan hadiah-hadiah yang
membuat murid gembira dan merangsang mereka untuk terus bersemangat dalam
belajar. Manakala peneguhan negatif pula adalah seperti memberikan hukuman
seperti denda berdiri, buat kerja di luar kelas dan sebagainya. Tujuan jenis
ganjaran bersifat negatif ini adalah agar murid tidak mengulangi kesalahan yang
sama berulangkali. Kedua-dua jenis ganjaran ini penting mengikut kesesuaian
suasana. Namun peneguhan positif lebih sesuai digunakan untuk murid-murid yang
lemah seperti puji-pujian, kata semangat. Sebab itulah dalam Pembelajaran Abad
21 perlu disediakan Reward Chart. Ini adalah kerana biasanya murid yang lemah
adalah murid yang kurang yakin pada diri mereka sendiri, apabila ada peneguhan
barulah semangat dari dalam diri akan muncul.
6. Mengulangi berkali-kali apa yang diajar.
Maksud mengulangi disini adalah mengulangi isi pelajaran dengan
kaedah yang berbeza. Murid yang lemah juga biasanya terdiri daripada mereka
yang mempunyai masalah dari segi memahami sesuatu. Disebabkan itulah guru perlu
sentiasa mengulangi apa yang sedang diajar berulangkali dengan cara yang
berbeza. Guru boleh mengulang-ulangnya dengan lisan, kemudian diulang lagi
mengunakan media ataupun dengan menggunakan peta minda yang menarik menggunakan
kreativiti guru itu sendiri. Selain itu, guru boleh menarik minat mereka dengan
sentiasa memanggil nama murid yang lemah berulangkali semasa proses
pembelajaran, ini sedikit sebanyak akan menyebabkan mereka akan fokus kepada
guru yang sedang mengajar.
7. Guru perlu bersikap tegas tapi bukan garang.
Semasa mengajar guru harus
mengamalkan sikap yang tegas tetapi bukan sifat yang garang. Sifat yang tegas
akan membuatkan murid dapat membezakan antara yang mana betul dan salah.
Manakala sifat yang garang akan menyebabkan murid-murid takut dan semakin tidak
ingin belajar. Biasanya murid yang lemah adalah terdiri daripada mereka yang
juga mempunyai masalah displin. Sikap tegas amat penting untuk membantu mereka
memahami apa yang mereka pelajari dan membantu mereka mematuhi peraturan semasa
belajar. Guru juga perlu sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepada
murid-murid berkenaan.
Semoga para guru tidak berputus asa mendidik dan membantu murid
lemah untuk terus belajar. Anggaplah ia sebagai cabaran untuk kita dalam
berjuang dalam dunia pendidikan. Ingat usaha tangga kejayaan.
Dipetik daripada:
Penulis Pendidik2u: Noraini Ismail
No comments:
Post a Comment