Wednesday, October 7, 2015

Pemupukan Semangat Patriotik



PEMUPUKAN SEMANGAT PATRIOTIK
Jawapan Nurul Aina Aqilah Abdul Rahim
5RKA
Peperiksaan Percubaan 2015
      
Semangat nasionalisme bererti semangat cintakan negara. Selain itu, semangat ini juga didefinisikan sebagai semangat patriotik. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Peribahasa ini menggambarkan nilai kesetiaan yang perlu ada dalam jiwa setiap rakyat terhadap negara tercinta. Walaupun hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, kita seharusnya mencurah rasa cinta tidak terhingga terhadap negara tanah tumpahnya darah kita. Namun, perilaku generasi kini yang lebih memuja budaya barat sehingga malu untuk menyatakan dirinya sebagai anak timur amat menyedihkan hati. Justeru, masalah ini perlu diatasi dengan segera agar negara Malaysia tidak hancur binasa akibat perbuatan rakyatnya sendiri. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk memupuk semangat patriotik dalam jiwa rakyat?


        Pada tanggal 31 Ogos 1957, negara Malaysia memperoleh kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajahan British. Hal ini merupakan titik mula bagi Malaysia untuk membentuk kerajaan sendiri. Justeru, bagi menghargai dan mensyukuri kemerdekaan yang diperoleh, sambutan hari kemerdekaan diadakan dengan meriah pada setiap tahun. Sambutan ini diadakan untuk memperingati jasa-jasa pemimpin tanah air yang telah memerah keringat untuk mempertahankan negara. Penyertaan semua rakyat tanpa mengira agama, budaya, kelas dan kaum dapat memupuk semangat patriotik dalam jiwa rakyat. Seperti mana yang kita dapat perhatikan, di negara Indonesia, rakyatnya begitu menghargai kemerdekaan dengan mengibarkan bendera tidak kira di mana mereka berada. Hari kemerdekaan tidak seharusnya dianggap hanya sebagai hari cuti atau hari untuk membeli-belah di kompleks pakaian. Hari kemerdekaan merupakan masa bagi rakyat untuk mengenepikan segala ideologi politik. Hari ini adalah hari bagi rakyat untuk mengangkat tangan mengibarkan bendera ‘Jalur Gemilang’ sambil melaungkan kata-kata yang mempamerkan semangat patriotik dalam diri. Sehati, sejiwa dan sederap. Semua rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat haruslah seiring dan sejalan dalam mengorak langkah untuk memastikan negara Malaysia dapat teguh berdiri hingga ke akhir zaman. Jelaslah bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat memupuk semangat patriotik.

        Seterusnya, pemupukan semangat patriotik dapat dilakukan melalui pendidikan di sekolah mata pelajaran sejarah dapat dijadikan sebagai medium untuk menanam rasa cinta akan negara dalam diri pelajar. Unsur-unsur patriotik harus diselitkan dalam pengajaran oleh para guru. Sebagai contoh, tajuk seperti ‘perjuangan pemimpin tempatan menentang penjajah’ dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang keperitan dan kepahitan yang dialami oleh generasi dahulu untuk memperoleh kemerdekaan. Hal ini dapat menimbulkan rasa kesyukuran dalam diri anak muda kerana dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Justeru, rasa cinta yang bercambah dalam diri mereka dapat menjadikan mereka rakyat yang setia dan patuh kepada negara. Perkara ini bertepatan dengan rukun negara yang kedua iaitu, kesetiaan kepada raja dan negara. Kata seorang tokoh terkenal, ‘sesiapa yang tidak mengingati sejarah, pasti akan mengulanginya’. Dengan pemupukan semangat patriotik melalui pendidikan, diharap anak muda kini dapat terus memacu negara menuju kejayaan. Jelaslah bahawa pendidikan dapat memupuk semangat patriotik.

        Di samping itu, semangat patriotik dapat diwujudkan melalui pelancongan. Pihak kerajaan hauslah menganjurkan tahun melawat Malaysia pada setiap tahun khusus kepada rakat Malaysia. Justeru, rakyat dapat menghayati keindahan flora dan fauna di Malaysia dan menyedari warisan turun temurun yang harus dijaga sepanjang hayat. Hal in dapat menyedarkan mereka untuk menjaga dan mencintai negara Malaysia yang penuh dengan pelbagai warisan bangsa. Rakyat Malaysia harus mengenepikan segala unsur perkauman demi menjaga keindahan Malaysia tercinta. Dengan ini diharap, secebis rasa cinta akan negara akan timbul dalam diri setiap rakyat dapat memastikan Malaysia kekal indah dengan pelbagai warna alam. Jelaslah bahawa semangat patriotik dapat dipupuk melalui pelancongan.

        Media massa memainkan peranan penting untuk memupuk semangat patriotik. Tayangan drama atau filem berkaitan perjuangan pemimpin negara dapat memberi sedikit gambaran kepada penonton tentang latar belakang pembentukan negara Malaysia. Namun, media massa kini kerap menayangkan filem-filem barat yang bukan sahaja merosakkan fikiran malah ia dapat menghakis jati diri anak muda. Kesannya, mereka terpengaruh dengan budaya kuning yang menyebabkan generasi kini rosak minda dan budaya. Walaupun kita berada di negara timur, namun, unsur kebaratan itu lebih banyak dilihat berbanding unsur ketimuran. Justeru, media massa seharusnya memenuhi masa tayangan dengan filem yang mempunyai nilai-nilai positif. Sebagai contoh, filem ‘Embun’ yang menceritakan kisah seorang gadis Melayu semasa penjajahan Jepun dapat menarik minat penonton. Filem ini memaparkan nilai ketabahan seorang gadis melawan penjajah. Walaupun usahanya itu kecil, ia dapat menyedarkan masyarakat untuk terus berani mempertahankan negara. Jika filem seperti ni menjadi bahan tontonan masyarakat, tidak hairanlah jika satu generasi berwawasan tinggi dapat terbina. Kata Soekarno, jika diberikan 10 orang pria, lantas dia dapat menggegarkan dunia. Pemuda pemudi yang bersemangat waja dapat menjadi pemangkin pembangunan negara. Jelaslah bahawa semangat patriotik dapat dipupuk melalui tayangan filem.

        Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat, marilah kita bersama-sama menyemarakkan rasa cinta yang mendalam agar negara  dapat terus gah berdiri di persada dunia.  


No comments:

Post a Comment