Bencana alam terutama banjir begitu kerap berlaku di negara
ini terutama ketika musim hujan. Bukan sahaja harta benda musnah malah nyawa
manusia turut melayang.
Jelaskan punca-punca yang membawa kepelbagaian bencana alam
ini.
Sudah pasti kejadian bencana alam ini sesuatu takdir yang
sudah ditentukan oleh Tuhan. Namun dalam pada masa yang sama kita sebagai
manusia harus memikirkan pelbagai perkara yang membawa bencana ini menjadi
semakin meruncing kerana sama ada kita mahu mengaku atau tidak bencana alam ini
akan terus berlaku. Pemahaman terhadap punca-punca yang menjurus berlakunya
bencana ala mini berupaya menimbulkan tindakan yang mampu menghalang atau
mungkin mengawalnya lalu mengurangkan kadar kemusnahan harta benda dan korban
manusia pula. Jadi, wujud pelbagai faktor yang membawa berlakunya bencana alam
ini.
Punca yang ketara ialah bencana alam merupakan satu mala
petaka yang sudah menjadi lumrah dalam sejarah peradaban manusia. Kita sudah
sedia maklum dunia ini pasti akan mengalami gempa bumi, tsunami, kebakaran
hutan dan juga banjir serta tiupan angin kencang pada bila-bila masa sahaja. Kajian
sains telah membuktikan bahawa bumi ini memang senantiasa dalam proses
perubahan meliputi kejadian bencana alam itu. Maka, bencana alam berlaku kerana
perkara itu merupakan sesuatu fenomena biasa yang menimpa dunia ini sejak
berkurun-kurun lalu.
Namun, bencana alam juga boleh dicetuskan akibat kemusnahan
alam yang disebabkan oleh aktiviti harian terutama ekonomi manusia sejak
berdekad-dekad lamanya itu. Lihat sahaja kemusnahan hutan, udara, laut dan
sebagainya yang berlaku dengan begitu pantas terutama dalam era kemodenan
manusia ini berbanding dengan zaman purbakala pula. Kemusnahan yang sebegitu
sudah pasti akan membawa musibah yang tertentu kerana bumi ini walaupun luas
pasti mengambil masa untuk mengimbangi perubahan yang drastik sebegitu. Jadi, bencana
alam berlaku kerana dunia mengalami kemusnahan alam yang begitu pantas sehingga
dunia itu sendiri tidak mampu untuk mengawalnya.
Malah, bencana alam juga berlaku akibat kegagalan manusia
membuat perancangan. Kita semua sedia maklum bahawa manusia sudah boleh meramal
musim hujan, kejadian ribut taufan dan juga memahami kejadian tsunami itu
tetapi mengapakah angka kematian terus meningkat? Jawapannya mudah sahaja
kerana manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih
awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana atau tidak mempunyai piawaian
pembinaan bangunan yang baik. Sesungguhnya, kegagalan manusia untuk merancang
atau bekerjasama memberikan satu persepsi bahawa kita memandang rendah
keupayaan bencana ala mini atau menganggap nilai nyawa manusia itu tidak
bernilai lalu membiarkan sahaja bencana alam berlaku begitu sahaja.
Malah, kejadian bencana alam kini mula dikaitkan dengan
pemanasan global yang dikatakan menjadi sesuatu perkara lazim dalam peredaran
usia bumi ini. Kajian saintis telah membuktikan bahawa bumi ini pasti akan
mengalami satu perubahan yang drastik dalam iklim global dunia dalam tempoh
masa tertentu. Semua bukti kajian lalu mengesahkan bahawa bencana alam
merupakan sesuatu perkara yang akan, sedang dan terus berlaku di dunia ini.
Oleh itu, bencana alam turut berlaku akibat perubahan iklim dunia yang dikaitkan
dengan fenomena pemasan global.
Kesimpulannya, bencana alam berlaku berdasarkan pelbagai
punca seperti yang dihuraikan tadi. Semua faktor ini saling berkait lalu
menjadikan bencana alam itu begitu kritikal terutama apabila mengorbankan
ribuaan nyawa dengan sekelip mata. Kita perlu sedar dan cuba membantu untuk
memulihkan semula alam sekitar kerana itulah jawapan kepada penyelesaian
bencana alam ini. Peribahasa hendak buat seribu daya tak hendak seribu dalih
menjadi renungan kepada kita semua dalam menangani kemelut ini.
No comments:
Post a Comment