Langkah-langkah Memupuk Semangat Patriotik
Oleh : Nabilah Izzati Adnan
(Tingkatan 5RKA SMKPBG)
Tanggal 31
Ogos 1957, merupakan satu detik proklamasi yang amat dinanti-nantikan oleh
seluruh rakyat Tanah Melayu. Saat Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan kalimah keramat “ merdeka ” , seluruh
rakyat bersorak dan bersyukur kerana telah bebas dijajah. Namun begitu,
semangat meraikan hari kemerdekaan negara yang kian luntur tahun demi tahun.
Pengorbanan perajurit-perajurit negara kian dipandang sepi. Sejajar dengan
permasalahan itu, beberapa inisiatif perlu diambil demi memupuk kembali
semangat patriotik dalam diri rakyat Malaysia.
Inisiatif
yang pertama ialah ibu bapa perlulah menceritakan semula sejarah pembentukan
negara Malaysia kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana 'sesiapa yang
melupakan sejarah lalu, maka pasti ia akan mengulanginya kelak' . Hatta, demi
menghapuskan duri dalam daging seperti Si Kitol yang telah mempertaruhkan
maruah negara, ibu bapa sewajarnya sentiasa mengingatkan anak-anak tentang pengorbanan
nenek moyang kita terdahulu demi mencapai kemerdekaan yang tidak ternilai
harganya. Ibarat kata pepatah, “ melentur buluh, biarlah dari rebungnya ”.
Sehubungan dengan itu, demi melahirkan pemimpin masa hadapan yang mempunyai
semangat patriotik dalam diri yang tinggi, ibu bapa perlulah memainkan peranan
yang penting agar generasi yang lebih proaktif dan berdedikasi dapat dibentuk.
Inisiatif
seterusnya ialah, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen mengibarkan jalur
gemilang. Selain itu, pihak kerajaan juga perlu mengadakan kempen “ sehati
sejiwa ” yang bertepatan dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini. Tema “
sehati sejiwa ” pada tahun ini telah memberikan satu anjakan paradigma kepada
rakyat Malaysia bahawa seluruh rakyat Malaysia perlu bekerjasama, bersatu padu
dan saling membantu dalam memajukan negara di persada antarabangsa sama ada
dari aspek ekonomi, sosial mahupun politik. Oleh yang demikian, sifat
kebersamaan, kesatuan dan kesepaduan ini secara tidak langsung akan menyuburkan
lagi semangat patriotik dalam diri setiap individu yang bergelar rakyat
Malaysia.
Selain itu,
pihak sekolah juga boleh menyanyikan lagu yang berunsurkan patriotisme setiap
hari sepanjang bulan Ogos sehinggalah 16 September iaitu pada hari Malaysia
demi mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan warga sekolah yang terdiri
daripada pelajar, guru-guru dan pekerja-pekerja am. Malahan juga, guru-guru
disarankan menganjurkan pelbagai pertandingan sempena bulan kemerdekaan ini
seperti pertandingan menghias kelas, pertandingan nyanyian lagu patriotik, kuiz
Sejarah dan sebagainya bagi menyemarakkan lagi rasa cinta akan negara dalam
kalangan pelajar. Sesungguhnya, perpaduan kaum di peringkat pelajar, guru-guru
dan pekerja- pekerja am dapat diperkukuhkan lagi agar negara Malaysia sentiasa
aman dan harmoni.
Seterusnya,
pihak media juga boleh menyiarkan lagu tema hari Kebangsaan di kaca televisyen
serta di corong radio agar seluruh rakyat Malaysia dapat menghayati seni kata
lagu tersebut tanpa mengira batasan usia. Di samping itu, pihak media juga
boleh mewujudkan sebuah program tentang sejarah kemerdekan negara agar generasi
muda dapat mengenang kembali betapa besarnya pengorbanan wira-wira terdahulu
yang telah rebah tersungkur di medan peperangan demi mempertahankan negara
tercinta.
Konklusinya,
semua pihak perlu berganding bahu dalam memupuk semangat patriotik dalam diri
setiap rakyat Malaysia. Hargailah pengorbanan pemimpin terdahulu yang mampu
memberikan kita kemerdekaan. Sesungguhnya, jadilah rakyat yang sofistikated dan
sentiasa bersemangat patriotik agar Malaysia maju, aman dan sejahtera tanpa
diserang oleh mana-mana musuh. Semenjak dahulu lagi rakyat Malaysia diseur
untuk hidup bersatu seperti sebaris lirik dalam lagu Negaraku “ rakyat hidup,
bersatu dan maju ” . Oleh itu, ayuh rakyat Malaysia, sahutlah seruan Perdana
Menteri kita, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, marilah kita, rakyat 1
Malaysia sama-sama dan sehati sejiwa bersemangat patriotik dan kibarkanlah
Jalur Gemilang.
(Teks karangan di atas merupakan tulisan sebenar Nabilah Izzati
yang dijawab semasa Peperiksaan Percubaan SPM bertempat di Dewan Panglima SMK
Panglima Bukit Gantang)
No comments:
Post a Comment