SEMANGAT PATRIOTIK PERLU DIJIWAI BUKAN SIMBOLIK
Merdeka! Merdeka! Merdeka. Teriakan suara hangat, suara
penuh semangat, suara keramat yang keluar daripada jiwa yang merdeka. Zaman
dulu-dulu, ketika nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini
dengan suara bergetar yang mempunyai rasa dalam jiwa kerana berasa
sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Kini bagaimana
perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Adakah
kita merasa terharu? Adakah kita berasa bersyukur? Atau paling tidak, adakah
kita rasa bangga? 57 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada
penjajahan. Alhamdulillah. Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur
57 tahun secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan
manusia yang matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah
diri dan material. Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini gah pada mata
dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara jiran.
Tetapi bagaimana pula dengan remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu
erti kemerdekaan? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah
betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan dari petang, tengah malam
hingga dinihari?
Remaja dan Patriotisme
Bertitik tolak daripada kerisauan ini, kami di Institut
Pemikiran Tun Dr Mahathir melakukan satu kajian bagi melihat dan mendalami
sejauh manakah tahap patriotisme dalam kalangan belia Malaysia. Malangnya,
dapatan yang kami peroleh amat menakutkan. Sehingga kami terfikir, masih
wujudkah lagi kemerdekaan negara kita dalam tempoh 50 tahun mendatang ini.
Tidak boleh tidak, setiap kali munculnya bulan Ogos, isu berkaitan semangat
patriotisme sering kali menjadi bualan masyarakat Malaysia. Patriotisme sering
kali dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu semangat atau nilai yang
perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda. Nilai
patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, sekiranya dapat
dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan
generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Oleh itu, adalah sangat
wajar bagi generasi muda khususnya menjadikan nilai patriotisme sebagai amalan
atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi
kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme dan dikenali sebagai
masyarakat majmuk.
Selain itu, patriotisme berkait rapat dengan nasionalisme
dan kedua-dua istilah ini sering ditukar ganti penggunaannya seolah-olah
sinonim dengan satu sama lain. Patriotisme juga membayangkan bahawa seseorang
wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan
kelompoknya. Ketika peperangan, mungkin nyawa diri yang perlu dikorbankan.
Gugur dalam pertempuran demi tanah air adalah contoh tipikal bagi patriotisme
yang aulia atau ekstrem. Walaupun patriotisme sering disamakan dengan
nasionalisme, tetapi kedua-duanya ada perbezaan. Semangat patriotik dapat
disimpulkan sebagai roh atau kumpulan orang yang mempunyai pendapat yang sama
dalam mengekalkan dan melindungi negara tercinta. Nasionalisme wujud selepas
patriotisme dibina dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat itu. Ia wujud
selepas beransur-ansur penjanaan nilai-nilai positif patriotik dalam individu
untuk mempertahankan semangat nasionalisme.
Dua jenis patriotisme
Hakikatnya, patriotisme boleh dibahagikan kepada dua jenis
iaitu patriotisme peribadi dan patriotisme rasmi. Patriotisme peribadi adalah
berperasaan dan sukarela. Patriot mematuhi nilai patriotik tertentu, seperti
menghormati bendera. Kerajaan memupuk patriotisme rasmi yang penuh isi simbolik
dan istiadatnya. Patriotisme ini adalah kepentingan logik negeri itu sendiri,
yang memperoleh kesahan daripada menjadi penyataan kebaikan bersama komuniti
politik. Tugu Negara dan Hari Pahlawan dan upacara peringatan adalah contoh
bagi jenis patriotisme ini. Selalunya patriotisme rasmi diatur oleh protokol,
dengan kaedah-kaedah tertentu untuk mengendali bendera, atau jaminan atau
penunjukan kesetiaan tertentu. Kepentingan pupuk semangat patriotisme
Patriotisme juga banyak bergantung kepada tindakan simbolik, seperti
mempamerkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan
berunsurkan kenegaraan secara beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada
kenderaan, atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara
pada peringkat umum.
Bagaimanapun, masyarakat sekarang seakan-akan lupa akan
pentingnya memupuk semangat patriotisme dalam diri masing-masing. Hal ini
kerana kita sering kali melihat anak bangsa kita yang tidak mengambil endah
akan isu-isu yang menonjolkan semangat patriotisme seperti bangga akan
pencapaian negara dan budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan
dasar budayanya dan identifikasi dengan ahli-ahli lain dalam bangsa. Tanpa kita
sedar patriotisme memainkan peranan yang sangat penting dalam diri setiap
rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai selama ini.
Antara signifikasi patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan
antara kaum, menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan
strategik ke arah keselamatan negara.
Demi mencapai persefahaman antara kaum pelbagai usaha telah
kerajaan lakukan. Mungkin kita tidak pernah perasan, kebanyakan tema
kemerdekaan berkaitan dengan perpaduan rakyat. Antaranya ialah muhibah dan
perpaduan, bersatu maju, kebudayaan sendi perpaduan, nasionalisme teras
perpaduan dan lain-lain lagi. Dari sini, kita dapat lihat betapa pentingnya
perpaduan sebagai pengikat dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk.
Tanpa perpaduan, rakyat Malaysia yang berbeza bangsa, latar belakang dan agama
akan mudah diprovokasi dan diadu domba oleh pihak yang mempunyai kepentingan
mereka sendiri. Dengan kefahaman patriotik yang tinggi, pemeliharaan dan
pemerkasaan perpaduan dapat dibentuk dengan mudah. Dengan itu, peristiwa yang
dapat menggugat keamanan negara seperti peristiwa 13 Mei dan peristiwa Kampung
Medan 4 Mac 2001 dapat kita hindari.
Pernahkah kita berfikir apa yang akan terjadi pada kemajuan
negara kita jika nilai patriotisme tidak diterap dalam diri masing-masing?
Lihatlah apa yang terjadi melalui peperangan negara Iraq dan Afghanistan,
penjajahan Israel ke atas Palestin, Mexico dengan masalah dadah serta Thailand
dengan konflik berdarah oleh kumpulan 'Baju Merah' melawan 'Baju Kuning'. Kesan
kepada keadaan yang dihadapi oleh negara itu, menyebabkan perkembangan ekonomi
negara tersebut terencat serta mengganggu hubungan baik antara negara.
Kestabilan ekonomi sesebuah negara tidak dapat dikekalkan jika masalah-masalah
dalaman yang telah mereka hadapi atau sedang harungi, tidak dirungkai.
Rakyat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya nilai
patriotisme bagi memupuk semangat perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan
hala tuju negara ke arah negara maju yang kukuh. Kejayaan yang telah dicapai
pada hari ini bukanlah bergantung kepada individu semata-mata, tetapi
merangkumi semua aspek seperti ke arah patriotisme rakyat. Tidak dinafikan
tugas menjaga keselamatan negara diterajui sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan
seperti polis dan tentera. Namun begitu tanggungjawab ini juga sepatutnya digalas
oleh setiap warga negara. Dengan semangat patriotisme yang tinggi, rakyat akan
menjadi semakin peka dan prihatin terhadap maruah dan kedaulatan negara.
Lantaran itu, jumlah anggota yang diperlukan dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW)
dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia yang menjadi benteng kedua keselamatan
negara dapat dipenuhi. Selain itu, gerakan pihak subversif yang sering
menghasut minda masyarakat, kita dapat disekati. Justeru, patriotisme adalah
ejen sosialisasi yang berkesan dan mantap untuk mengekalkan kemerdekaan
sehingga pada masa akan datang.
Bagaimanapun, terdapat banyak kekangan untuk mencapai
objektif ke arah sifat patriotisme ke arah negara bertamadun tinggi. Sehubungan
dengan itu, perlunya inti pati semangat ini diselitkan dalam pendidikan negara
terutama dari sekolah rendah, bak kata pepatah Melayu "melentur buluh
biarlah dari rebungnya". Oleh itu, pendidik perlu menyemai semangat
patriotisme dengan lebih kreatif supaya pelajar dapat menjiwai dengan lebih
mendalam. 50 tahun mendatang merdekakah kita lagi? Namun begitu, isu yang
sering kali menjadi persoalan utama ketika ini, masihkah ada kemerdekaan untuk
Malaysia pada masa 50 tahun yang akan datang? Hal ini kerana kian hari kita
disajikan dengan perilaku anak bangsa yang semakin jauh atau melupai untuk
mendalami erti sebenar semangat patriotisme ini. Anak muda sekarang lebih mudah
terpengaruh dengan dengan perilaku negatif sehingga leka dalam menghayati
semangat patriotik. Contohnya, anak muda lebih mudah terpengaruh untuk turut
serta dalam "penentangan jalanan" tanpa mengetahui dengan lebih
mendalam akan maksud atau faedah sebenar bantahan itu. Bagi mereka keinginan
untuk turut serta dalam kekacauan itu sudah menjadi seperti trend yang dapat
mereka banggakan. Walhal, jika situasi ini berterusan, tidak hairanlah andai
suatu hari kelak, emosi bertemu emosi, perbalahan atau pergaduhan sesama rakyat
Malaysia yang berbilang kaum ini akan tercetus yang mengakibatkan perpecahan
kaum. Mungkin juga keadaan ini akan menyebabkan berlakunya peperangan dalaman
antara rakyat dan kerajaan yang akan menghancurkan kestabilan negara
kita.
Saya bukannya seorang yang rasis, namun sebagai rakyat bumi
tercinta ini tertanya-tanya juga akan sejauh manakah orang bukan Bumiputera
menerapkan nilai patriotisme? Apatah lagi selepas 57 tahun mencapai
kemerdekaan, mengapakah wujudnya penterjemah dalam mahkamah sedangkan Bahasa
Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia? Keadaan ini membuktikan bertapa tahap
patriotisme yang telah berkurangan dalam generasi kini. Hilangnya jati diri
sebagai anak Malaysia menjadikan mereka lupa pada kewujudan Malaysia pada masa
lalu.
Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan tidak lagi
menjadi kebanggaan kepada sesetengah anak-anak Malaysia terutamanya mereka yang
berbangsa bukan Bumiputera. Lebih menyedihkan, media sosial menjadi medium
kebebasan untuk mereka bersuara tanpa batasan. Malah, ada juga yang menyatakan
rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran negara, mempersoalkan hak Bumiputera
serta merendahkan kekuasaan Raja-raja di Malaysia. Ternyata mereka tidak
memahami rukun negara kita, apatah lagi peruntukan Perlembagaan yang
membataskan perkara tertentu dalam dibincangkan secara umum.
Bukan kita menuding jari kepada sesiapa atau tidak juga mahu
menangkan bangsa Melayu. Umum dapat melihat bangsa lain seperti mengambil mudah
isu patriotisme ini. Sebagai contoh, andai orang bukan Bumiputera diajukan
soalan seperti "Saya berasa gembira jika dipilih menyertai PLKN",
"Saya sangat menghormati pahlawan yang berkorban untuk mempertahankan
Malaysia", "Saya sedia berbakti kepada negara" serta soalan lain
yang berunsur patriotisme ini, kebanyakan mereka sama ada memberikan jawapan
yang negatif atau terus menolak untuk menjawab akan persoalan itu. Sudah jelas
menunjukkan bahawa mereka tidak mendalami semangat patriotisme terhadap negara
sendiri? Mungkin "Ya" atau juga mungkin "Tidak". Oleh sebab
itu, patriotisme bukan saja harus dipupuk oleh bangsa Melayu saja, malahan oleh
bangsa lain kerana topik ini harus dititik beratkan bagi memastikan Malaysia
masih terus merdeka. Hal ini kerana Malaysia adalah sebuah negara unik kerana
terdiri dari berbilang bangsa.
Tuntasnya di sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini
adalah tonggak utama dalam memastikan Malaysia agar terus merdeka walau 50
tahun mahupun 100 tahun yang akan datang. Hal ini kerana kemerdekaan yang
dicapai adalah daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus
aman dan menepis segala ancaman dari dunia luar agar Malaysia tidak akan
dijajah semula. Bak kata Tun Dr. Mahathir: "Mereka yang melupakan sejarah,
pasti akan mengulanginya". Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang terdiri
daripada berbilang kaum dan berbeza agama, tentunya tidak mampu menunggu
sehingga tahap kritikal. Tentulah kita mengetahui pentingnya patriotisme
sebagai rakyat Malaysia seperti perumpamaan "sudah terhantuk, barulah
terngadah". Rentetan itu, nilai patriotisme haruslah diterapkan kepada
anak muda kita sejak awal pembelajaran lagi agar menjadi pegangan hidup
kelak.
Perbaiki masalah perpaduan
Masih belum lagi terlambat untuk memperbaiki masalah
perpaduan negara. Yang penting ialah keikhlasan. Barulah semangat patriotik di
kalangan rakyat akan dapat disemai. Penggunaan bahasa kebangsaan harus
digalakkan secara menyeluruh. Apa yang dilakukan sekarang bagus, tetapi masih
belum lagi mencukupi. Ironinya, apa erti Jalur Gemilang berkibar megah, jika
nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera
jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan? Apa ertinya negara
akan menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-57, jika rakyat yang berbilang bangsa
masih lagi syak wasangka sesama sendiri. Semua ini masalah pokok yang harus
diselesaikan. Jika tidak sambutan tidak ada erti dan tiada bezanya dengan
perayaan lain yang dirayakan di negara ini. Mungkin pantun klasik karya tokoh
pejuang kemerdekaan, Dr Burhanudin al-Helmi dapat memberikan erti
kemerdekaan.
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka
Merdekakah kita sebenarnya?
Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan, sebaliknya, kita
dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang ciptaan prasangka
dusta. Mari kita bebaskan diri kita ini dengan menghayati erti sebenar perit
mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya.
Semoga teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kali ini penuh dengan getaran
daripada jiwa yang benar-benar ingin merdeka. Perhimpunan sambutan kemerdekaan
antara tindakan simbolik patriotisme. - Ga