Hari Isnin, 20 Julai 2009, bersamaan 27 Rejab 1430H, umat
Islam seluruh dunia memperingati peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa besar
dan antara yang terpenting dalam sejarah permulaan Islam itu membawa bersamanya
lautan iktibar dan hikmah yang kekal menjadi panduan dan peringatan kepada umat
Islam hingga ke akhir dunia.
Antara pengajaran dan perkara utama ditonjolkan menerusi apa
yang dialami Rasulullah s.a.w. di dalam peristiwa itu ialah berkaitan
kepentingan mendirikan solat. Menerusi peristiwa Israk dan Mikraj Baginda
s.a.w. menerima syariat mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Diriwayatkan juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengimami solat
bersama para anbiya dan mursalin.
Episod itu bukan sahaja mengisyaratkan Baginda s.a.w.
sebagai penghulu segala anbiya dan mursalin, malah kepimpinan beliau itu
dikaitkan pula dengan penghormatan diberikan oleh dalam memimpin ibadat utama
kepada Allah.
Peristiwa itu juga dijadikan iktibar betapa Islam amat
menekankan solat berjamaah. Sebab itu setiap kali para ulama menceritakan Israk
dan Mikraj, mereka tidak akan ketinggalan mengaitkannya dengan kepentingan
menjaga solat dan memakmurkan masjid menerusi solat berjamaah.
Amat malang bagi umat kini, meski pun peringatan dan
penekanan mengenai kepentingan solat berjamaah sering diulang sebut oleh
pelbagai pihak yang menitikberatkan amalan itu, ia masih terlalu jauh untuk
menjadi tabiat harian umat Islam.
Fenomena masjid dan surau yang kosong dan lengang terzahir
di mana-mana. Semua pihak mengambil daya usaha memperbanyakkan jumlah anggota
kariah yang melazimi masjid sedia ada untuk berjamaah.
No comments:
Post a Comment