Wednesday, July 22, 2009

Hidayah - Israk & Mikraj Peristiwa Luar Biasa


ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.

Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1) Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.

Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.

Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Tuesday, July 21, 2009

Iktibar Isra Mi'raj


Hari Isnin, 20 Julai 2009, bersamaan 27 Rejab 1430H, umat Islam seluruh dunia memperingati peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa besar dan antara yang terpenting dalam sejarah permulaan Islam itu membawa bersamanya lautan iktibar dan hikmah yang kekal menjadi panduan dan peringatan kepada umat Islam hingga ke akhir dunia.

Antara pengajaran dan perkara utama ditonjolkan menerusi apa yang dialami Rasulullah s.a.w. di dalam peristiwa itu ialah berkaitan kepentingan mendirikan solat. Menerusi peristiwa Israk dan Mikraj Baginda s.a.w. menerima syariat mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Diriwayatkan juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengimami solat bersama para anbiya dan mursalin.

Episod itu bukan sahaja mengisyaratkan Baginda s.a.w. sebagai penghulu segala anbiya dan mursalin, malah kepimpinan beliau itu dikaitkan pula dengan penghormatan diberikan oleh dalam memimpin ibadat utama kepada Allah.

Peristiwa itu juga dijadikan iktibar betapa Islam amat menekankan solat berjamaah. Sebab itu setiap kali para ulama menceritakan Israk dan Mikraj, mereka tidak akan ketinggalan mengaitkannya dengan kepentingan menjaga solat dan memakmurkan masjid menerusi solat berjamaah.

Amat malang bagi umat kini, meski pun peringatan dan penekanan mengenai kepentingan solat berjamaah sering diulang sebut oleh pelbagai pihak yang menitikberatkan amalan itu, ia masih terlalu jauh untuk menjadi tabiat harian umat Islam.

Fenomena masjid dan surau yang kosong dan lengang terzahir di mana-mana. Semua pihak mengambil daya usaha memperbanyakkan jumlah anggota kariah yang melazimi masjid sedia ada untuk berjamaah.

Kenali Pohon Semarak Api


Beginilah rupanya pohon semarak api yang lazim ditemui. Dalam sajak “Tukang Gunting” karya T.Alias Taib dalam antologi “Kerusi”, pohon inilah yang menjadi pilihan tukang gunting sebagai teduhan tempatnya mencari rezeki.Tentu anda dapat memahami sebab-sebab pohon ini sesuai sebagai tempat menggunting rambut pelanggan berbanding pohon lain. Cubalah fikirkan..
Petikan daripada laman Minda Bahasa

Saturday, July 18, 2009

PPSMI - Pandangan Cendikiawan


PANDANGAN CENDIAKAWAN TERHADAP PELAKSANAAN PPSMI

 
Sasterawan negara Profesor Muhammad Haji Salleh, "Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maka kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita untuk menjadi bahasa besar dan serba-boleh. Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramal bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab kitalah dewasa ini untuk memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia".

 
Profesor Teo Kok Seong, "Ya! Memang, globalisasi telah memberi kesan kepada bahasa-bahasa kecil, atau kita panggil sebagai minor languages ini. Pada zaman globalisasi ini, kita melihat kemusnahan bahasa itu berlaku dengan lebih pantas. Kalau dulu, seperti yang dikatakan dalam teori bahasa, sesuatu bahasa itu akan pupus dal am rentang waktu antara 50 tahun hingga 100 tahun, iaitu kira-kira antara dua generasi hingga empat generasi. Tetapi akhir-akhir ini, semenjak adanya bahang globalisasi, kita melihat bahasa-bahasa kecil itu mulai pupus dalam satu generasi saja. Maksudnya, bahasa-bahasa kecil tidak dapat diwariskan kepada generasi yang lebih muda ini. Sebaleknya, bahasa-bahasa kecil ini kelihatannya sudah diabaikan aspek penggunaannya, yang lama-kelamaan bahasa ini akan hilang dimamah zaman."

Dr. Muhammad Saiful Haq b Hussin, "Janganlah nanti kesan yang lebih dahsyat ialah usaha ini akan menghilangkan jati diri dan akhirnya meruntuhkan ketamadunan bangsa yang telah terbina sejak dahulu lagi".
Petikan daripada Blogs Dr. Muhammad Saiful Haq

Monday, July 6, 2009

ANALISIS SOALAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1


Fokus Soalan 1 (Dimensi Diri)

2004 (N)

Golongan remaja merupakan aset penting kepada negara pada masa hadapan. Mereka bakal menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga yang memajukan negara dan menjaga kedaulatan negara daripada pelbagai ancaman.

Sebagai remaja yang berwawasan, bincangkan peranan anda untuk mencapai ketiga-tiga hasrat tersebut

2005 (J)

Pelbagai cabaran perlu anda hadapi sebelum sesuatu cita-cita itu dicapai.

Jelaskan cabaran-cabaran tersebut serta langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk mengatasinya.

2005 (N)

Remaja memang suka mengikut trend semasa dari segi gaya hidup dan berpakaian. Trend ini akan mempengaruhi budaya hidup masyarakat Malaysia pada masa akan datang.

Ulas pernyataan di atas

2006 (J)

Anda mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan di peringkat daerah sempena Hari Kesihatan Sedunia. Tajuk syarahan anda ialah “Amalan Gaya Hidup Sihat”.

Sediakan teks syarahan anda selengkapnya

2006 (N)

Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) penting dalam kehidupan pada masa ini.

Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan menguasai kemahiran ICT

2007 (J)

Setiap individu perlu mengamalkan sifat berjimat-cermat.

Huraikan cara-cara anda melaksanakan amalan ini.

2007 (N)

Anda mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan peringkat sekolah. Tajuk syarahan anda ialah ’Rukun Negara Membentuk Rakyat Berkualiti ’

Sediakan teks syarahan itu selengkapnya.

2008 (J)

Kitar semula merupakan satu daripada kaedah pengurusan bahan terbuang.

Jelaskan kebaikan-kebaikan amalan kitar semula

2008 (N)

Sebagai setiausaha sidang redaksi majalah sekolah, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan tentang Majlis Anugerah Cemerlang yang diadakan di sekolah anda.

Sediakan laporan itu selengkapnya

2009 (J)

Anda telah memohon biasiswa setelah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Sehubungan dengan itu, anda perlu menghadiri temu duga bagi mendapatkan biasiswa tersebut.

Jelaskan perkara-perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan anda berjaya dalam temu duga tersebut.

**** N - November, J - Jun