Kehidupan masyarakat yang harmoni bergantung kepada
perpaduan kaum dalam kalangan rakyat.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai
pihak untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.
Dewasa
ini, pelbagai perubahan dan perkembangan dapat dilihat di negara kita Malaysia.
Sebagai contohnya, kejayaan pembinaan menara yang tertinggi di dunia, Menara
Kuala Lumpur dan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara iaitu Jambatan Pulau
Pinang dan yang terkini ialah pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua.
Kejayaan-kejayaan Malaysia hari ini adalah disebabkan oleh perpaduan antara
rakyat berbilang kaum. Bagi rakyat Malaysia, perpaduan antara kaum amatlah
penting untuk melahirkan sebuah negara yang aman dan damai. Oleh itu, bagi
mengekal di samping mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini, maka
langkah-langkah yang sewajarnya harus diambil.
Bagi
mengukuhkan perpaduan antara kaum, masyarakat memainkan peranan yang sangat
penting. Masyarakat haruslah menghayati nilai-nilai murni seperti nilai
toleransi dalam pergaulan seharian supaya perselisihan faham tidak berlaku. Di
kawasan perumahan, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dapat dijalankan.
Contohnya, aktiviti membersihkan alam sekitar dan aktiviti kejiranan yang lain
supaya hubungan silaturahim antara kaum dapat dieratkan. Aktiviti rumah terbuka
pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri juga dapat mengeratkan hubungan
antara satu sama lain. Selain itu, melalui aktiviti seumpama ini, sesuatu
kaum mempunyai peluang untuk memahami
adat resam serta makanan tradisi kaum lain. Hal ini secara tidak langsung telah
mendalamkan pengetahuan kita terhadap kaum yang lain dan dapat mengurangkan
peluang menyentuh pantang larang kaum lain.
Seterusnya, ibu bapa juga berperanan
penting dalam hal ini kerana ibu bapa merupakan model kepada anak-anak mereka.
Oleh itu, ibu bapa perlulah menunjukan sikap yang baik dan bertolak ansur
dengan orang lain terutamanya yang berbeza kaum supaya anak-anak mereka dapat
mempelajari nilai yang baik daripada mereka. Sekiranya seorang bapa memarahi
dan mengatakan isu sensitif antara kaum, tentu anak mereka akan terpengaruh
kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa juga haruslah mendidik anak-anak
mereka tentang nilai toleransi dan juga adat resam kaum lain sejak dari kecil
lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini secara
langsung boleh mengurangkan perselisihan faham antara kaum.
Tambahan
pula, dalam usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum, kerajaan memainkan peranan
yang terpenting kerana merekalah yang memimpin rakyat Malaysia. Pihak kerajaan
seharusnya menggalakkan dan memberi sokongan kepada aktiviti-aktivit yang
diadakan oleh badan-badan bukan kerajaan yang bertujuan untuk memupuk perpaduan
antara kaum. Pihak kerajaan juga boleh mewujudkan dasar-dasar dan slogan-slogan
yang bertujuan menyatupadukan rakyat Malaysia. Contohnya, konsep 1 Malaysia
yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.
Banyak aktiviti telah diadakan dengan jayanya berdasarkan konsep tersebut dan
masyarakat perlulah menyokong aktiviti-aktiviti sebegini. Seterusnya, dalam
dasar pentadbiran kerajaan tidak haruslah mengabaikan atau mementingkan
mana-mana kaum dan perlu mentadbir dengan adil dan saksama.
Di
samping itu, sekolah memainkan peranan yang agak penting juga dalam
menyatupadukan semua kaum. Hal ini kerana kebanyakan masa murid-murid pada hari
ini adalah di sekolah. Oleh itu, sekolah memberi pengaruh yang agak besar
kepada para pelajar. Sekolah seharuslah menerapkan kepentingan perpaduan dan
nilai-nilai murni dalam proses pembelajaran dan
pengajaran. Menerusi pengajaran mata pelajaran Pendidik Sivik dan Kewarganegaraan
serta Sejarah, guru-guru perlulah memberitahu betapa pentingnya perpaduan
kepada rakyat Malaysia dan kesusahan pemimpin-pemimpin kita yang terdiri
daripada berbilang kaum menuntut kemerdekaan daripada kerajaan British.
Guru-guru juga boleh menceritakan implikasi sekiranya rakyat tidak bersatu
padu. Contohnya, tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969.
Selain
itu, media massa pada hari ini juga membawa pengaruh yang besar kepada rakyat
Malaysia sama ada media cetak ataupun media elektronik. Media massa boleh
menyiarkan iklan-iklan serta rancangan-rancangan yang berunsurkan perpaduan.
Contohnya, kartun ‘Upin dan Ipin’ yang menceritakan kehidupan kanak-kanak yang
berbilang kaum. Media massa tidak seharuslah mamaparkan isu-isu sensitif yang
boleh menyebabkan kemarahan mana-mana kaum. Orang yang menemu ramah dan orang
yang ditemu ramah tidak haruslah menyentuh isu sensitif antara kaum. Penyebaran
khabar angin seperti orang Melayu ingin membunuh orang Cina melalui Internet
ataupun telefon bimbit juga tidak boleh dilakukan. Hal-hal ini tidak sepatutnya
berlaku di negara kita dan pihak-pihak yang menyentuh isi sensitif kaum
perlulah dijatuhkan hukuman kerana isu-isu ini boleh menyebabkan rakyat
Malaysia berpecah belah dan sejarah hitam berkemungkinan berulang lagi.
Deduksinya, Malaysia, sebagai sebuah negara
yang sedang berkembang.Rakyatnya telah menerima pendidikan dan mengetahui
kebaikan dan keburukan sesuatu keputusan seharusnya bersatu padu kerana sepakat
membawa berkat. Sekiranya rakyat Malaysia tidak bersatu padu, ekonomi negara
kita tidak akan berkembang dan politik kita akan tidak stabil di samping
membawa kesan buruk kepada negara kita iaitu sekali lagi dijajah oleh kuasa
lain. Perpaduan teras kejayaan! Sekiranya rakyat Malaysia menginginkan sebuah
negara yang aman damai serta berkembang maju, rakyat Malaysia yang berbilang
kaum haruslah bersatu padu dan bersama-sama merealisasikan Gagasan Satu
Malaysia dan Wawasan 2020!
Ali Redha 5RKA
No comments:
Post a Comment