PERSEMBAHAN KUMPULAN MUJAHIDAH 5RKA
Langkah-langkah memulihara alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Langkah-langkah memulihara alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Menjelang
abad ke-21, apabila masyarakat kita semakin maju, kita dapati bahawa tapak bumi
ini telah menjadi mangsa dalam arus kemodenan ini. Sering meniti dari bibir ke
bibir masyarakat mengenai isu pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran air,
udara dan darat. Antaranya, isu jerebu yang mengancam negara kita sejak
beberapa tahun kebelakangan telah menjadi topik hangat yang dibincangkan dari
kedai kopi hingga ke parlimen. “Kalau tidak kerana angin, masakan pokok
bergoyang”. Sikap manusia zaman moden yang asyik mengejar fatamorgana sehingga
mengabaikan isu pencemaran alam sekitar, merupakan faktor yang menyebabkan
keadaan ini semakin merosot. Sekiranya keadaan ini dibiarkan, manusialah yang
akan menerima padahnya pada suatu hari nanti. Memandangkan keadaan ini, maka
pelbagai langkah drastik perlulah diambil sebelum nasi menjadi bubur.
Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk memulihara alam sekitar?
Jawapannya terletak pada kita semua.
Antara langkah memulihara alam
sekitar ialah dengan mengadakan aktiviti gotong- royong membersihkan
kawasan persekitaran. Gotong-royong ini boleh dilakukan dalam kelompok
yang kecil iaitu hanya melibatkan ahli keluarga ataupun dalam bentuk kelompok
yang besar yang melibatkan masyarakat atau agensi-agensi kerajaan yang
berkaitan. Peribahasa sepakat membawa berkat membuktikan sekiranya kita
mengadakan aktiviti gotong-royong, kita dapat membersihkan kawasan
persekitaran kita agar alam sekitar kita lebih bersih dan secara tidak langsung
dapat menjamin kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Antara aktiviti
gotong-royong yang boleh dijalankan untuk memulihara alam sekitar ialah
membersihkan kawasan perumahan, kawasan pantai, kawasan rekreasi dan
sebagainya. Jelaslah, bahawa aktiviti gotong royong adalah salah satu cara
untuk memulihara alam sekitar.
Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik
merupakan salah satu langkah yang dapat mengatasi masalah pencemaran alam
sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan program 3R dalam
kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai ‘Reduce, Reuse,
Recycle’. ‘Reduce’ ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber yang
terhad. Dalam erti kata lain, masyarakat haruslah berjimat cermat dalam
menggunakan bahan sumber yang saban hari kian berkurangan seperti petroleum dan
arang batu. ‘Reuse’ pula ialah usaha menggunakan semula bahan-bahan buangan
secara terus atau mengubah fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta barangan
baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan
sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu,
masyarakat perlu mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan
baru. Contohnya, masyarakat boleh menjual surat khabar dan majalah lama untuk
di kitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan sampah malah dapat
menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah, berjimat sebelum
kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka terhadap
isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi
semakin serius.
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani
masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam
kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan
pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa
yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun
serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan
serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,
berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh klorofluro karbon
(CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat
mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah
kulit dan sebagainya. Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana
terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan
hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan
pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh
Tuhan. Tegasnya, langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah
dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam kehidupan kita.
Kesimpulannya, masalah pencemaran
alam sekitar di negara kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini
memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah
dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah
menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan
dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini
dibiarkan, kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam
kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam
sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa
mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Dengan itu, penjagaan dan
pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran memerlukan kerjasama, kesedaran
dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi
akan datang dapat menikmati keindahan dan kelestarian alam sekitar yang
dianugerahkan kepada manusia.
(Hasilan persembahan pelajar SMK Panglima Bukit Gantang pada
9/2/2015)
No comments:
Post a Comment