Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang
telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd
Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 3 cerpen lagi yang belum pernah ditanya dalam
peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan cerpen-cerpen
tersebut semasa membuat ulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan
ringkasan cerita ketiga-tiga cerpen tersebut kali ini untuk membantu pelajar
supaya ingat akan ceritanya semula.
1. Cerpen Annyss Sophillea
Ringkasan Cerita
Cerpen ini mengisahkan Annyss Sophillea dari planet Alstonia
yang hendak mencari kembarnya, iaitu Eyrique Etiqaz di bumi. Di bumi, dia
bersahabat baik dengan Akmal. Setelah gagal mencari kembarnya, Annyss Sophillea
kembali ke Alstonia. Dia bertemu dengan Strenn, iaitu sepupunya yang telah
merampas kuasa kerajaan Alstonia. Sepatutnya Eyrique Etiqazlah yang mewarisi
takhta kerajaan itu.Annyss Sophillea pula berasa yakin bahawa Strenn telah
menyembunyikan kembarnya itu supaya dapat terus kekal berkuasa. Oleh itu, dia
berusaha untuk mencari Eyrique Etiqaz. Pada masa itulah Akmal datang untuk
memberikan bantuan kepada Annyss Sophillea. Akmal berjaya naik ke Alstonia
dengan menunggang eustary. Annyss Sophillea memberitahu Akmal bahawa dia
dipisahkan daripada kembarnya supaya mereka menjadi lemah, sebaliknya jika
mereka bersatu, mereka akan menjadi sangat kuat.Akhirnya Annyss Sophillea dan
Akmal berjaya menemui Eyrique Etiqaz di sebuah bilik kurungan di hujung
terowong rahsia. Mereka pun mengeluarkan Eyrique Etiqaz dari bilik kurungan
itu. Tenaga Eyrique Etiqaz pulih dalam masa yang singkat apabila dia menyentuh
tanduk eustary.Pada masa itu juga, Strenn datang dan menyebabkan dia dan
Eyrique Etiqaz beradu kekuatan. Masing-masing memiliki kesaktian untuk
mengalahkan lawan masing-masing. Pada suatu peringkat, apabila melihat Eyrique
Etiqaz hampir kalah, Akmal mengeluarkan pistol lalu menembak Strenn, namun
demikian di Alstonia, sesiapa yang membunuh orang maka dia juga akan turut
terbunuh. Oleh sebab itu, Akmal turut tumbang dan merasai kesakitan yang
ditanggung oleh Strenn. Walau bagaimanapun, Annyss Sophillea dan Eyrique Etiqaz
sempat meletakkan tangan mereka pada dada Akmal untuk menyelamatkan nyawa
sahabat mereka dari bumi itu.
Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah
perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan pada perwatakan Daneng dan Cikgu Jo
serta latar tempat dan latar masyarakatnya.
2. Cerpen Lambaian Malar Hijau
Ringkasan Cerita
Cerpen ini mengisahkan Daneng, anak orang Asli dari perkampungan
di Lembah Tualang yang enggan meneruskan pelajaran walaupun mendapat keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Daneng sudah
meninggalkan sekolah berasrama itu selama enam bulan dan kembali ke tempat
tinggalnya semula. Cikgu Jo yang tidak mudah berputus asa terus memujuk Daneng
supaya meneruskan pelajarannya. Pada peringkat awalnya Daneng tetap berkeras
dan tidak mahu menyambung pelajarannya kerana terlalu cinta akan kawasan hutan
yang dianggapnya sebagai warisan nenek moyangnya.Cikgu Jo menasihati Daneng
agar melanjutkan pelajaran, kerana dengan ilmu dan kedudukan yang baik, dia
akan dapat menjaga hutan itu dengan lebih berkesan. Akhirnya hati Daneng
menjadi lembut dan dia bersetuju untuk meneruskan pelajarannya.Dua puluh lima
tahun kemudian, Daneng telah berjaya menerima Hadiah Nobel kerana usahanya
memulihara, memelihara, dan menambah kawasan hutan di negara ini. Beliau telah
dianugerahi gelaran ”Datuk” atas segala usahanya. Cikgu Jo berbangga dengan
pencapaian pelajarnya itu. ”Datuk Daneng” sebagai orang yang tidak cepat lupa
daratan, terus mengenang jasa Cikgu Jo yang amat besar itu.
Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah gaya
bahasa, perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan pada gaya bahasa, perwatakan
watak utama dan latar tempat, di samping latar masyarakatnya.
3. Virus Zel Untuk Abah
Ringkasan Cerita
Zel ialah seorang gadis yang berusia 20 tahun dan mengalami
tekanan perasaan akibat perceraian antara ibu dengan bapanya. Zel sebenarnya
dahaga akan kasih sayang ayahnya, tambahan pula ibunya asyik sibuk dengan
kerjanya iaitu menguruskan perniagaan komputernya. Zel kecewa kerana ayahnya
tidak memahami perasaannya. Ibu Zel ialah seorang wanita yang berpelajaran dan
berfikiran terbuka. Dia meminta Zel menerima hakikat bahawa ayah dan ibunya
telah berpisah. Ibunya memberikan nasihat supaya Zel jangan menyimpan dendam
terhadap ayahnya atau keluarga baru ayahnya. Walau bagaimanapun ibunya
membenarkan Zel ke rumah ayahnya yang kini sudah berkahwin dengan Syarifah dan
mempunyai tiga orang anak iaitu Awi, Aman, dan Arif.Di samping itu kawan Zel,
iaitu Win menasihati Zel supaya jangan bertindak mengikut emosi. Hal ini
demikian kerana, Zel sudah berusia 20 tahun dan bakal menjadi penuntut jurusan
undang-undang di United Kingdom. Pada suatu hari, Zel mengikut abang tirinya,
Awi untuk membeli hadiah sempena hari lahir ayah mereka. Mereka bertengkar
ketika memilih warna yang menjadi kegemaran ayah mereka. Perasaan Zel semakin
tertekan apabila Awi meminta Zel supaya jangan mengganggu ayahnya lagi.Dendam
Zel terhadap ayah dan keluarga barunya membara semula. Dia ingin melepaskan
virus Zel untuk memusnahkan Program ZQ 1308 yang sangat penting kepada keluarga
ayahnya. Win sempat memujuk Zel supaya membatalkan niat buruknya itu. Akhirnya,
Zel membatalkan niatnya untuk membalas dendam walaupun dia tetap berasa sakit
hati.
Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah
perwatakan dan nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, fokuskan pada perwatakan
watak utama dan nilai-nilai kemanusiaan serta pengajarannya.