Sunday, February 21, 2021


Contoh Karangan Cemerlang Bahagian B

 

Setiap orang ingin akan kawasan petempatan yang terancang untuk tinggal bersama-sama keluarga tersayang.

 

Jelaskan ciri- ciri sebuah petempatan yang menjadi idaman anda sekeluarga

 

Contoh karangan

Catatan

 

             Petempatan memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah tamadun(AR1). Tanpa sebuah petempatan kekal, maka tidak akan wujudlah Tamadun Mesir Purba, Tamadun Indus dan sebagainya(AR2). Sebuah petempatan yang maju dapat menjadi pendorong  kepada kegemilangan sesebuah tamadun(AR3). Bagi saya dan keluarga petempatan yang selesa , bersih dan selamat menjadi pilihan(Ayat Arah).

 

 

Pendahuluan:

AR1(Ayat Ransangan 1)

AR2

AR3

 

 

 Ayat Arah

 

             Keselesaan adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika memilih sesebuah petempatan. Apa gunanya jikalau rumah yang dibeli dengan harga beratus-ratus ringgit tidak selesa untuk didiami oleh pemiliknya. Bukankah ini satu  kerugian namanya. Keadaan sekeliling yang masih mengekalkan keadaan geografinya serta bebas daripada pencemaran amat sesuai bagi kami sekeluarga yang sangat mencintai flora dan fauna. Setelah penat sehari-harian menjalankan tugas di kota metropolitan yang dipenuhi dengan gas-gas beracun seperti gas karbon dioksida, gas karbon monoksida dan sebagainya, sebuah petempatan yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan hijau, burung-burung berkicauan, udara yang segar serta bunyi deruan air sungai dapat mengembalikan ketenangan fikiran serta mencergaskan badan yang kelesuan. Oleh itu, sebuah petempatan yang berada di pinggir kota menjadi pilihan saya dan  keluarga.

 

 

Isi 1 – Keselesaan 

     

Ayat Huraian yang jelas.

 

 

Contoh yang diberikan sesuai.

 

 

 

 

 

 

 

Ayat penegas

         

              Selain itu, sebuah petempatan yang tersusun turut menjadi pilihan. Semasa tamadun Indus, Bandar Harappa, mempunyai susunan bangunan yang sangat terancang. Bangunan berbentuk segi empat disusun rapi pengaplikasian ilmu matematik dan geometri telah menjadikan tamadun ini sebuah tamadun yang gemilang. Petempatan yang terancang lebih menyedapkan mata yang memandang jikalau dibandingkan dengan sebuah petempatan yang bangunannya disusun sesuka hati. Fikiran yang sudah sarat dengan masalah di tempat kerja akan menjadi lebih serabut apabila terpandang keadaan petempatan yang tidak terancang.Jelaslah bahawa, sebuah petempatan yang tersusun dapat membentuk sebuah organisasi yang kukuh dan hal ini telah dibuktikan oleh tamadun-tamadun sebelum ini.

 

 

 

Isi 2 – petempatan yang tersusun.

 

Ayat Huraian yang jelas.

 

Contoh yang diberikan sesuai.

 

Kosa kata yang digunakan luas

 

 

Ayat Penegas

 

               Kebersihan sesuatu tempat amatlah penting kerana kebersihan tempat tinggal menjamin kesihatan penduduk. Cuba bayangkan sebuah petempatan yang mempunyai sistem perparitan yang tersumbat disebabkan oleh sampah sarap, tempat pembuangan sampah yang tidak pernah dibersihkan serta anjing-anjing liar berkeliaran di sana sini. Keadaan ini pasti mengundang penyakit berbahaya seperti denggi, taun, keracunan makanan dan sebagainya. Jikalau saya memilih petempatan seperti ini, nescaya kos perubatan keluarga saya akan meningkat dan generasi saya pada masa akan datang berpotensi tinggi mengalami sebarang penyakit. Saya tidak tergamak mahu merampas masa depan generasi akan datang. Hanya kerana sikap tidak prihatin akan kebersihan seluruh generasi saya akan menanggung akibatnya. Oleh yang demekian, petempatan yang bersih pasti menjadi pilihan kami. Bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati.

 

 

Isi 3- tempat tinggal yang bersih

 

 

Ayat Huraian yang jelas dan matang.

 

Contoh yang diberikan sesuai.

 

Kosa kata yang digunakan luas

 

 

Ayat Penegas

Ungkapan menarik tepat

 

 

       Petempatan yang menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan- kemudahan lain adalah menjadi impian banyak keluarga, begitu juga dengan keluarga saya. Dengan adanya kemudahan seperti sekolah, klinik, taman rekreasi, telefon awam dan sebagainya dapat menjadikan kehidupan sesebuah keluarga lebih mudah. Sebagai contoh, dengan adanya kemudahan seperti sekolah, ibu bapa tidak perlu bersusah payah menghantar anak-anak mereka ke tempat yang lebih jauh untuk menuntut ilmu. Ada pepatah mengatakan menuntut ilmu hingga ke negeri China. Namun, pada usia yang mentah, anak-anak lebih mementingkan keseronokan daripada keselamatan . Dengan adanya sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal, tidak perlulah saya berasa bimbang akan keselamatan anak-anak ketika mereka pergi mahupun pulang dari sekolah kerana saya akan menghantar dan mengambil mereka pulang. Risiko  penculikan atau pemerdagangan kanak-kanak dapat dihindari. Sesungguhnya kemudahan infrastruktur yang lengkap dapat menjadikan kehidupan sesebuah keluarga itu menjadi lebih bahagia.

 

 

Isi 4- terdapat kemudahan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan lain.

 

Contoh yang diberikan sesuai.

 

Ungkapan menarik tepat

 

Ayat Huraian yang jelas dan matang

 

Kosa kata yang digunakan luas

 

Ayat penegas

          Kemudahan lain seperti pengawal keselamatan yang mengadakan rondaan yang kerap dapat mengatasi masalah penculikan dan rompakan yang sering berlaku di negara kita belakangan ini. Dengan adanya kemudahan seperti ini, tahap keselamatan penduduk di kawasan petempatan tersebut lebih terjamin. Tambahan pula, dengan adanya pekerja-pekerja yang diupah bagi menjaga kebersihan kawasan tersebut dengan memastikan sampah-sampah dikutip dan dibuang ke tempat pelupusan sampah, rumput-rumput dipotong, sistem perparitan berfungsi dan sebagainya lagi. Petempatan yang mempunyai ciri-ciri ini amat bersesuaian dengan keluarga kami.

 

 

Isi 5- kemudahan keselamatan

 

Contoh yang diberikan sesuai.

 

 

Ayat Huraian yang jelas

 

 

Ayat penegas

          Apa gunanya jikalau sebuah petempatan itu cantik dan bersih tetapi jiran sebelah-menyebelah tidak  bertegur sapa. Keluarga  kami sangat mementingkan semangat kejiranan kerana perkara ini ada ditekankan di dalam Al-Quran. Pembangunan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan rakyat . Perpaduan rakyat bermula dengan semangat kejiranan yang jitu. Jiran yang mengambil berat akan perihal jirannya serta bersedia membantu jirannya yang berada di dalam kesusahan dapat memajukan sesebuah negara. Komuniti yang mesra serta mengambil berat antara satu sama lain adalah satu komuniti yang menjaminkan kehidupan yang bahagia. Perkara ini telah dibuktikan dengan pembukaan Kota Madinah oleh Nabi Muhammad s.a.w.  Kesediaan kaum Ansar membantu kaum Muhajirin sewaktu peristiwa Hijrah sekali gus menjadikan Kota Madinah sebuah empayar Islam yang teragung. Oleh itu, petempatan yang menawarkan komuniti yang bersatu padu menjadi idaman sekeluarga. Sesungguhnya perpaduan rakyat merupakan landasan  kejayaan sesebuah negara.

 

 

Isi 6- jiran-jiran yang bertegur sapa

 

Contoh yang diberikan sesuai.

 

 

Ayat Huraian yang jelas dan matang

 

Kosa kata yang digunakan luas

 

 

 

Ayat penegas

    

              Kesimpulannya, petempatan yang selesa, bersih, selamat dan masyarakat yang bersatu padu merupakan petempatan idaman kami sekeluarga. Apa gunanya memiliki rumah banglo  dua tingkat yang tersergam indah tetapi dikelilingi bangunan-bangunan konkrit,kawasan sekeliling tercemar dan jiran tetangga yang mementingkan diri sendiri. Hidup umpama enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing bukan pilihan kami sekeluarga. Biarlah rumah itu sederhana tetapi petempatnnya, selesa, bersih , selamat dan masyarakatnya hidup dalam harmoni. Maka dengan ini negara Malaysia akan terus maju di mata dunia.

 

 

Penutup

Ulasan yang matang

 

Cadangan yang bernas

 

Ungkapan menarik sesuai

 

Harapan

 

 

Komen pemeriksa:

Tugasan     : menjawab tugasan dengan tepat

Idea            : Idea relevan dan dihuraikan dengan jelas dan

                      matang

Bahasa      : Gramatis, kosa kata luas dan tepat

Pengolahan : menarik dan berkesan serta matang.

 

Kategori :  Cemerlang 

 

 


Tuesday, April 21, 2020

Peranan Rakyat Menjamin Kesejahteraan Negara

Peranan Setiap Rakyat Malaysia Dalam Menjamin Kesejahteraan Negara


Contoh karangan
Catatan

             Negara Malaysia telah menyalakan baraan tekad di pulau cita untuk menjadi sebuah negara yang maju dan gah di persada dunia dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Namun demikian, di sebalik seribu perubahan yang positif, tetap juga terselit duri dalam daging. Pembangunan negara yang pesat sedikit sebanyak tercalar apabila masalah sosioekonomi seperti jenayah, rasuah, pembuangan bayi dan sebagainya sering terpampang di dada akhbar mahupun kaca televisyen. Siapakah yang harus dipersalahkan apabila masalah-masalah seperti ini berlaku? Sasterawan Negara Usman Awang pernah berkata, “Jiwa kita dipengaruhi oleh fikiran kita. Jiwa kita berubah apabila fikiran kita berubah”. Hal ini bermaksud rakyat Malaysia perlulah sedar akan peranan masing-masing demi menjamin kesejahteraan negara. Kita haruslah keluar daripada kepompong yang mengongkong kita untuk berfikiran secara kritis dan kreatif. Oleh yang demikian, semua rakyat memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan negara.


Pendahuluan:
AR1(Ayat Ransangan 1)
AR2- Teknik Peribahasa
AR3- Teknik Contoh
AR4- Teknik Persoalan
AR4- Teknik Pendapat   
          Pemimpin
AR5
Ayat Arah

         Langkah utama dalam memastikan kesejahteraan negara ialah rakyat haruslah menjalin perpaduan yang erat antara satu sama lain. Sepanjang 53 tahun setelah merdeka, negara kita banyak mengalami pelbagai cabaran dalam pembangunan negara bangsa. Isu perpaduan telah dikenal pasti sebagai elemen yang signifikan ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang unggul. Oleh sebab itu, seni kata  ”rakyat hidup bersatu dan maju”dimasukkan dalam lirik lagu ‘negaraku’.Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai ras, bangsa, agama dan budaya perlulah memecahkan tembok perbezaan kaum antara satu sama lain demi membentuk perpaduan,   bak kata pepatah”bersatu teguh bercerai roboh”. Kita haruslah mengetepikan segala isu sensitif yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan menjalin silaturahim yang erat bersama-sama rakyat lain. Contohnya, amalan rumah terbuka dan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong merupakan saluran yang efektif untuk menyemai bebenih perpaduan. Melalui rumah terbuka, kita dapat bergaul mesra dengan kaum lain sempena hari perayaan masing-masing, di samping memahami budaya dan adat resam mereka melalui aktiviti kemasyarakatan pula, rakyat dapat bekerjasama menjayakan sesuatu program. Dengan adanya perpaduan kaum, kestabilan politik negara pasti dapat dijamin, seterusnya menjana kesejahteraan negara.


Isi 1 – menjalin
          perpaduan yang
          erat
Ayat Huraian yang jelas.

Contoh yang diberikan sesuai.

Ungkapan menarik yang tepat












Ayat penegas
         
            Selain itu, rakyat perlulah sentiasa patriotik dan mensyukuri  nikmat kemerdekaan serta kesejahteraan yang kita miliki. Kita haruslah berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh negara dan setiap bidang antaranya pengeluaran kereta nasional,pembinaan Menara Bekembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur,pencapaian Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David dalam arena sukan antara bangsa dan sebagainya.Tambahan lagi, kita juga perlu besyukur atas kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh negarawan tersohor dan mengambil tahu serba sedikit tentang sejarah negara.Hal ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme rakyat,sekali gus mencuba sedaya upaya untuk membangunkan negara.Contohnya,mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah perlulah dikuasai sejak bangku sekolah.Mata pelajaran Bahasa Melayu mampu menonjolkan jati diri sebagai rakyat yang bangga akan bahasa sendiri manakala mata pelajaran Sejarah membolehkan rakytat mengetahui Malaysia dengan lebih lanjut.Janganlah menganggap sejarah itu sebagai catatan kaku dan bisu yang tidak menyumbang apa-apa terhadap pembangunan negara.Rakyat juga boleh menyertai sambutan kemerdekaan yang diadakan demi menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.Sesungguhnya,jikalau setiap rakyat mengambil inisiatif untuk menyemai semangat patriotik, kesejahteraan negara pasti terjamin.

Isi 2
 Bersemangat patriotik dan mensyukuri nikmat kemerdekaan

Ayat Huraian yang jelas.

Contoh yang diberikan sesuai.

Kosa kata yang digunakan luas











Ayat Penegas


             Di samping itu, rakyat perlulah menumpukan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara. Sejarah telah membuktikan bahawa rakyat yang tidak taat setia akan mengakibatkan kedaulatan negara akan tergadai. Rakyat yang mengkhianati negara sendiri akan berdosa besar kerana pada hakikatnya golongan tersebut sanggup mengorbankan kedaulatan dan maruah demi kepentingan diri sendiri bagai “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Misalnya, semasa Melaka menghadapi serangan portugis pada tahun 1511, terdapat seorang pembelot bernama Si Kitol yang telah memberiahu pihak Portugis tentang strategi peperangan Melaka.Akibatnya,pihak Portugis berjaya menjajah Melaka.Bayangkanlah sekira rakyat seperti Si Kitol berada di negara Malaysia,apakah yang akan terjadi?Sudah tentunya anasir-anasir negatif akan mempengaruhi minda generasi muda,seterusnya mengundang campur tangan kuasa lain.Oleh yang demikian,rakyat perlulah taat setia kepada raja dan negara.Antara tindakan yang mencerminkan ketaatan termasuklah sanggup mempertahankan negara apabila diserang musuh,tidak membocorkan rahsia kepada pihak luar,berdiri tegak semasa menyanyikan lagu kebangsaan dan lain-lain. Jelaslah bahawa taat setia rakyat yang tidak berbelah bahagi akan dapat menjamin kesejahteraan negara.

Isi 3
Menumpukan taat setia yang tidak berbelah bagi


Ayat Huraian yang jelas dan matang.

Contoh yang diberikan sesuai.

Kosa kata yang digunakan luas

Ungkapan menarik tepat





Ayat Penegas

            Disingkap dari perspektif lain pula,rakyat juga memainkan peranan untuk menyokong dasar-dasar yang telah digubal oleh kerajaan. Agenda komprehensif yang telah dirangka oleh kerajaan bertujuan untuk memacu negara ke arah kemajuan sehingga mencapai misi kudsi wawasan 2020 yang telah di war-warkan oleh bekas Perdana Menteri,Tun Dr.Mahathir Bin Mohamad pada 28 februari 1991. Antara dasar terkini yang telah digubal termasuklah Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dan Program Tranformasi Kerajaan (GTP).Sekiranya rakyat tidak memberi sokongan padu,sudah tentunya program-program seperti ini hanya akan menemu jalan kebuntuan.Malangnya,masih terdapat segelintir rakyat yang gagal mengambil tahu dasar-dasar kerajaan ataupun bersikap mengutuk keberkesanan dasar-dasar tersebut.Sikap seperti ini perlulah dikikis kerana akan mengancam hasrat kerajaan dan membantutkan pembanggunan negara. Bidalan sering mengatakan bahawa,”bulat air kerana pembentung,bulat manusia kerana bermuafakat”. Rakyat seharusnya bekerjasama dengan pemimpin untuk memajukan negara. Contohnya,semasa berlakunya krisis ekonomi,rakyat harus menyahut seruan kerajaan untuk membeli barang buatan tempatan.Apabila kerajaan melancarkan kempen,rakyat harus melibatkan diri dalam aktiviti pengisian kempen secara aktif.Sehubungan dengan itu,sokongan rakyat yang padu dan penglibatan rakyat yang aktif dalam pembangunan negara akan menjamin kesejahteraan negara.

Isi 4
Menyokong dasar kerajaan


Ayat Huraian yang jelas dan matang

Contoh yang diberikan sesuai.

Kosa kata yang digunakan luas


Ungkapan menarik tepat







Ayat penegas

    
             Sebagai akhirulkalam, semua rakyat perlulah menggembleng tenaga tampa prejudis ataupun sebarang konspirasi demi menjamin kesejahteraan negara.Negara Malaysia tidak akan maju sekiranya tabiat ‘tidak kisah’ semamin menebal dalam sanubari majoriti rakyat.Setiap rakyat perlulah sedar bahawa mereka memainkan peranan dan menggalas tanggungjawab untuk menjana kecemerlangan  negara sehingga bakal bergemerlapan di mata dunia.Kata-kata Perdana Menteri Malaysia,Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, “kita berfikir,berdiri dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia.”Oleh itu,kita haruslah bangkit berlandaskan slogan “ rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan” demi melestarikan kesejahteraan Malaysia.”Sebelum tinta mengakhiri kata, hayatilah serangkap pantun di bawah:

Penutup

Ulasan yang matang

Cadangan yang bernas

Harapan









             
           “Sutera bermutu dibuat baju,
                      Dipakai dara pulang ke desa;
            Rakyat bersatu negara maju,
                     Hidup sejahtera sepanjang masa”


Kreativiti bahasa


Karangan pelajar SMK Bagan Serai (SMKBS) 2010. Pada tahun ini saya mengajar di SMKBS.

Siapa Muhammad Azlan Al Amin

SEIMBAS TENTANG SIAPA MUHAMMAD AZLAN AL AMIN

dipetik daripada fb Pahrol Mohamad Juoi
18.04.2020

[Mohon izin Ustaz Pahrol Mohamad Juoi untuk saya siarkan semula rencana yang tersiar dalam fb Ustaz untuk dipaparkan dalam blog saya. Tujuan petikan diambil sekadar untuk dikongsikan kisah Saudara Muhammad Azlan AlAmin yang patut diketahui oleh semua lapisan masyarakat terutama generasi muda. Semoga dapat memberi manfaat]

Muhammad Azlan Al Amin, lahir 33 tahun yang lalu di Kampung Tok Raja dalam daerah Besut Terengganu.Tepatnya pada selasa 23/9/1987
Ditakdirkan lahir dalam sebuah keluarga termiskin di daerahnya bersama-sama 21 adik-beradiknya (seibu-sebapa) yang lain. Kemiskinan, cercaan dan penghinaan sudah menjadi basahann hidupnya sejak kecil.
Namun beliau bertuah kerana punya ibu yang sangat penyayang dan kuat berpegang kepada nilai-nilai agama. Daripada ‘air tangan’ didikan ibu itulah Muhammad Azlan membesar menjadi seorang insan yang sabar, gigih, kuat kemahuan, cepat bertindak dan tahan lasak.
Buku Kisah hidup Azlan
  TIDAK CEMERLANG AKADEMIK.
Muhammad Azkan bukanlah seorang yang pandai dalam bidang akademik. Pencapaian akademiknya sangat sederhana. Mungkin kerana belitan kemiskinannya, beliau sudah menggalas tanggungjawab untuk mencari rezeki buat menampung keluarganya sejak di bangku sekolah lagi. Namun, itu bukanlah bererti beliau tidak bijak. Bijak, pandai dan cerdik berbeza. Pandai dibentuk hasil menulis dan membaca. Tetapi bijaksana ditempa oleh kemahiran berfikir dan jiwa yang merasa.
Lalu Muhammad Azlan belajar tentang kearifan dan erti hidup ini daripada universiti kehidupan. Anak muda ini berani berbeza,dan berani mencuba. Bila jatuh, dia bangun lagi. Bukan sekali, malah berkali-kali. Inilah siri ‘peperiksaan’ yang telah dilaluinya!
Pernah digantung pengajian semasa belajar di sekolah Menengah, kemudian gagal dalam peperiksaan STPM pada tahun 2007 dan akhirnya terkandas pengajian peringkat diploma di Kolej KIST Bachok Kelantan, tetapi anak muda ini sepertinya telah diprogramkan untuk menimba ilmu dan pengalaman melalui cara yang berbeza dan unik.
 UNIVERSITI KEHIDUPAN
Bukan di bawah naungan kelas atau dewan kuliah tertutup ,tetapi di kelas dan universiti kehidupan yang lebih luas dan terbuka. Guru dan pensyarahnya terdiri daripada pelbagai golongan. Kurikulum dan subjek pelajarannya tidak terhad, tersukat dan terbatas. Rotan dan dendanya ialah kesedihan dan kepedihan.
Kekentalan hati, malah adakalanya kedegilan diri, tidak menghalang beliau menimba ilmu daripada sesiapa sahaja. Beliau mengambil panduan dan didikan daripada alim ulama, kasih sayang dan cinta daripada kedua ibu-bapa, bantuan dan dokongan daripada adik-beradik dan saudara mara, motivasi dan ilmu daripada guru-guru, hiburan dan gurauan daripada sahabat-sahabat... Resipi inilah yang membina karektor anak muda yang sentiasa ‘laparkan’ kejayaan ini.
Manusia dengan tadbirnya, tetapi Allah dengan takdirNya. Itu satu prinsip yang dipegang kukuh oleh Muhammad Azlan. Kalimah, “ berdamailah dengan takdir” selalu terluah daripada bibirnya. Baginya, hanya dengan berdamai dengan masa silam, kita mampu melangkah ke masa depan dengan penuh berani dan yakin. Selagi iman dan harapan masih bersemi dalam hati, selagi itulah buah kejayaan dunia dan akhirat akan terhasil buat diri hamba yang bertaqwa.
Dia, insyaAllah yakin dengan hakikat itu. Justeru, seluruh tadbirnya direbahkan di persada takdir melalui sabar dan solat, pembacaan Al Quran, Tahajud, Dhuha dan sedekah. Hujung akal, datanglah tawakal.
 DEWASA KETIKA REMAJA
Beliau pernah bekerja seorang pembancuh air, kelindan lori, pengutip sampah dan pelbagai kerja lagi yang dianggap kotor, bahaya dan sukar .
Walaupun begitu azamnya untuk merubah hidup diri dan keluarga terus membara bahkan semakin menyala-naya. Angin kesusahan dan penderitaan itu seolah-olah meniup lagi semangatnya untuk terus kembali bangun setiap kali jatuh. Ya, benarlah seperti yang dikatakan, bukan serendah mana kita jatuh, tetapi setinggi mana kita melonjak semula selepas setiap kali jatuh.
Itulah jiwa Muhammad Azlan Al Amin, lelaki berambut pendek dan berjanggut tebal ini. Raut wajahnya yang garang boleh tiba-tiba boleh jadi redup apabila dia tersenyum apalagi menangis apabila nuraninya tersentuh.
Dia berazam untuk menukar air mata ibunya yang jatuh apabila melihat ulat-ulat keluar dari bajunya setiap pulang bekerja sebagai pengutip sampah menjadi senyum gembira dan ceria. Rumah buruk mereka dengan atap yang bocor di sana sini tempat mereka sekeluarga berteduh selama ini ingin ditukarnya menjadi ‘mahligai’ yang selesa pada suatu hari nanti.
Begitulah tekad dan azam yang dibina oeleh anak muda ini setiap kali dia dan adik-beradiknya tidur ditimpa titisan air setiap kali hujan melanda teratak buruk mereka.
Muhamad Azlan telah bebrapa kali berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk mencuba nasib. Dia ‘berhijrah’ dari zon tidak selesanya kepada zon yang lebih tidak selesa untuk mencipta peluang. Namun, peluang yang diciptanya sering tidak menjadi. Bayangkan kebun jagung yang pernah diusahakan punah dipukul ribut apabila saat menuai tiba. Dan apabila kebun menjadi pula, dia ditipu oleh pihak ketiga yang bersikap ‘janji tidak serupa bikin’.
Dia bukan sahaja pernah dihina bahkan pernah diperalatkan oleh pihak yang berkepentingan. Malah, ketika bunga kejayaannya mula mekar sebagai seorang usahawan muda, tiba-tiba menjadi kuncup apabila dia ditipu jutaan ringgit oleh manusia yang licik.
Tetapi apakah semua itu menyebabkan dia patah hati? Tidak. Ya , sebagai manusia dia juga rasa sedih dan adakalanya rasa marah dan kecewa. Tetapi semua itu tudak menyekat langkahnya untuk terus menuju kejayaan. Kemarahan, kekecewaan dan kesedihannya sebaliknya ‘dimafaatkan’ untuk membakar lentera hatinya untuk mencuba sekali lagi dengan lebih bijaksana. Kegagalan adalah peluang untuk memulakan sekali lagi dengan lebih terancang dan berhati-hati.
Kini dia mula mengenal siapa kawan, siapa lawan, yang mana perangkap, yang mana peluang.
Detik yang merubah hidupnya bermula apabila dia melangkah keluar daripada rumahnya pada suatu malam di bulan Ramadan tahun 2010 dengan berbekal wang RM 1.30 sen pemberian ibunya. Dia pergi dengan niat tidak akan kembali lagi selagi tidak bersama kejayaan untuk dihadiahkan kepada ibunya.
 TEKAD DAN NEKAD
Pada malam itulah dia ‘membakar jambatan’ kemustahilan. Walaupun langkah kakinya masih kabur tetapi langkah hatinya sudah tekad dan nekad untuk mencari satu yang lebih tepat berbanding apa yang telah dibuatnya sebeum itu.
Pada malam Ramadan itu, di sebuah wakaf di tengah sawah, dalam kegelapan malam, dia menangis dan bermunajat... bertemankan kesunyian.
Ketika pintu-pintu di dunia sudah tertutup, pintu ke langit lapang terluang. Begitu kata Dr Hamka, ulama sekaligus pujangga besar itu. Jarak antara masalah kita dan jalan penyelesaiannya hanyalah antara dahi dengan tempat sujud kita. Sujud dan mendekatlah, Allah lebih besar daripada masalah mu! Manusia yang paling gagah ialah manusia yang paling mengaku lemah di hadapan Allah.
Lalu terbukalah hijab dan turunlah pertolongan Allah.
Hari-hari seterusnya adalah hari-hari yang penuh makna buatnya apabila dia bertemu bekas guru persekolahan, Cikgu Halim. Esok, lusa, mentari mula bersinar apabila.
 MULA BERNIAGA
Muhammad Azlan memulakan karier sebagai penjual lot-lot tanah milik bekas gurunya itu. Bidang itu sungguh asing, sungguh berbeza daripada bidang-bidang yang diceburi olehnya sebelum ini... Namun, manusia melihat dari kacamata yang terbatas, tetapi Allah punya kurnia yang tidak terbatas. Satu hadiah besar sedang menanti buat insan yang sudah lama menderita itu.
Sejak itulah putaran roda kehidupan buat Muhamamad Azlan mula berubah. Daripada komisen hasil jualannya, dia mula merancang perniagaan hartanahnya sendiri. Tahun demi tahun. Bukan sedikit air mata dan keringat yang tumpah. Tidak ada jalan pintas menuju kejayaan.
Akhirnya beliau berjaya menjadi seorang jutawan dan hartawan dalam bidang hartanah melalui syarikat perniagaannya sendiri: Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd.
Hartanah miliknya semakin bertambah. Dia mula dikenali dikalangan ahli perniagaan, kakitangan kerjaan dan swasta, pasukan keselamatan khususnya PDRM dan lain-lain.
Anak muda yang bermula dari ‘zero’ ini telah bertukar menjadi ‘hero’. Bukan melalui jalan lobi, rasuah, ampu, bodek dan sebagainya tetapi melalui jerih payah yang memakan masa bertahun-tahun.
Ya, kini Muhammad Azlan sudah mencapai apa yang diidamkannya sejak dulu. Air mata ibu sudah ditukar menjadi senyum. Teratak lama sudah berubah menjadi rumah yang selesa buat diri dan keluarga. Dia tidak lagi menjadi pengutip sisa makanan di tong-tong sampah buat keluarga.
 JIWA SEORANG PEJUANG
Sekarang, apakah dia patut berhenti? Rupa-rupanya tidak. Anak muda ini meneruskan lagi langkahnya. Jika berjuang untuk diri, dia boleh berhenti, tetapi dia berjuang untuk ummah. Qanaah, hanya buat diri. Tetapi pemurah untuk orang lain.
Walaupun dia telah memberi infak yang sudah sekian banyak untuk madrasah tahfiz, rumah-rumah anak yatim, sekolah-sekolah, orang-orang fakir dan miskin, tetapi hatinya belum puas... mana mungkin ada nokhtah pada sebuah kebaikan. Lalu dia mencari lagi, bukan hanya semata-mata untuk mencari tetapi untuk memberi!
Golongan yang miskin dibantu,yang lemah dibela dan yang terpingir diketengahkan.Beliau turut menjadi hero masyarakat dan wira yang tidak perlu didendang.
Beliau menjadi idola dan ikon anak anak muda untuk berjaya.Kelibatnya ditunggu,kehadirannya dinanti,dan perkongsian Inspirasi darinya nyata mampu membangkitkan semangat yang lesu.Beliau ialah saksi hidup yang menjadi bukti tentang sebuah kejayaan.
MENUBUHKAN KOPERASI AZLAN AL AMIN.
Terbaru beliau mengorak langkah besar dengan dengan menubuhkan sebuah Koperasi: KOPERASI AZLAN AL AMIN BERHAD. Niatnya, cuma untuk menjadi baik dan memberi kebaikan atas peranan sebagai hamba Allah dan Khlalifah di bumi. Dia yakin koperasi adalah wadah yang dilihatnya mempunyai capaian dan jangkauan yang lebih jauh dan tinggi untuk memberi manfaat kepada umat.
Dia mula mengumpul ahli-ahli koperasi daripada pelbagai latar belakang, merancang projek, menyusun pelbagai kemahiran dan bakat, daripada seluruh lapisan masyarakat untuk digembeling demi satu cita-cita – membina ekonomi ummat Islam, agar Islam kuat dan berdaulat untuk memayungi seluruh masyarakat, Islam dan bukan Islam.
Langkah besar ini telah dimulakan dan insyaAllah, dengan niat, usaha dan doa yang berkekalan, usaha ini akan berjaya. Amin.
Tentang anak muda berjiwa pejuang ini,tidak cukup hanya sehelai kertas jika mahu menulis pemikirannya,keberaniannya memecahkan kata kemustahilan,dan prinsip hidup yang dijulangnya! Namun setidaknya,setitik dakwat yang dikongsi ini diharapkan menjadi manfaat.
Ya,beliau juga manusia biasa yang bukanlah sempurna.Beliau juga perlukan nasihat juga sokongan doa.Tapi kita mesti membaca dari pandangan yang putih agar kita beroleh kebaikan dalam diri seseorang.
Sunggguh ketika dia memintaku menjadi gurunya,membimbing dan menasihatinya bagai seorang ayah dan guru,aku merasakan kerdil diri ini lantaran aku sendiri insan lemah di sisiNya.Namun demi mengilap permata ini buat ummah,aku sangup dan aku rela selamanya kerana Allah.
Inilah seimbas kisah Muhamad Azlan Al Amin, ditulis oleh insan kerdil ini (Pahrol Mohamad Juoi) atas kesedaran mana mungkin Muhamad Azlan Al Amin akan menulis kisahnya sendiri. Sejak dulu sudah maktub : Orang yang mencipta sejarah, tidak akan sempat menulis sejarah!
Oleh : Pahrol Mohamad Juoi
18/4/2020