Huraikan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk
mengelakkan kejadian tanah runtuh.
Bencana
tanah runtuh merupakan satu fenomena yang serius seperti kejadian tanah runtuh
di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada Disember, 2006 dan kejadian meragut
nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat baru-baru ini memerlukan satu pendekatan
yang dinamik dan menyeluruh. Fenomena ini merupakan rentetan daripada kegagalan
pelbagai pihak bertindak ke atas kesan-kesan semula jadi dan tindakan manusia.
Pelbagai reaksi yang ditunjukkan, ada pihak melempar batu, sembunyi
tangan. Ada pihak tidak ambil pusing dengan
tanda-tanda awal kejadian mungkin berlaku. Justeru, usaha-usaha yang lebih
pragmatis perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini lagi.
Pemusnahan
hutan dan aktiviti pembalakan tanpa kawalan lazimnya dikaitkan dengan
fenomena tanah runtuh ini. Kerakusan manusia menggeledah rimba raya dan bukit
bukau ini telah mengganggu ekosistem dan lestari alam. Keadaan tanah di cerun
bukit digondolkan serta mendedahkanya kepada risiko tanah runtuh. Pokok-pokok
yang menjadi ikatan kepada tekstur tanah telah ditebang dan dibuang. Apabila
hujan turun air yang mengalir menjadi beban kepada cerun yang longgar dan tidak
stabil. Hal ini boleh menyebabkan tanah rebah seperti yang pernah berlaku di
tanah tinggi Genting Highland dan Pos Dipang satu ketika dahulu. Oleh itu,
kawalan terhadap penebangan hutan dan aktiviti pembalakan ini diharapkan dapat
menjadi satu usaha jitu dalam menyelamatkan cerun dan tanah daripada runtuh dan
mengancam nyawa.
Selain
itu, usaha menanam semula tumbuh-tumbuhan selepas aktiviti
pembangunan merupakan langkah yang agak efisen bagi meminimakan kejadian tanah
runtuh. Manusia mengolah alam sekitar dan hidupan untuk mendapatkan keperluan
asas hidupnya seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, dan mendirikan tempat
rekreasi. Dalam usaha memenuhi keperluannya, manusia telah membuka hutan untuk
pertanian, perumahan, industri, perlombongan, membina empangan dan mengeringkan
hutan paya bakau. Aktiviti-aktiviti manusia ini menukar alam persekitaran serta
menghapuskan habitat semula jadi, banyak sepsis tumbuhan musnah. Oleh itu,
kerjasama semua pihak yang terbabit membuang segala sifat evasif dengan memikul
tanggungjawab lapang bagi memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat
pembangunan. Ghalibnya, usaha ini dapat kembali menguatkan tanah yang telah
melalui proses pembangunan.
Bagi
mengelak kejadian buruk ini, negara perlu mendepani persaingan pembangunan
dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap
setiap pelan pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan
pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah
bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Kita ambil contoh, pembangunan tanah perlu diberi perlesenan
wajar, mengambil kira jenis tanah dan kawasan serta faktor cuaca dan
alam semula jadi. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam
dengan projek yang bakal dimajukan. Usaha ini diharapkan dapat mengelakkan
kejadian yang tidak diingini.
Tanah
runtuh juga mungkin dapat dielakkan, jika negara menguatkuasakan
undang-undang. Hanya undang-undang sahaja yang dapat mencegah
kedegilan dan kerakusan manusia mengaut keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan
sosial. Pesalah perlu dihukum mengikut undang-undang. Rasuah dan
sikap pilih bulu perlu diketepikan sama sekali dalam
menjayakan agenda negara agar keberkesanan tindakan dapat dilihat hasilnya.
Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, akta tanah, akta perhutanan dapat
menjaga hak dan menyelamatkan situasi genting. Pembangunan dilakukan
dengan berhati-hati sudah pasti dapat meminimakan kejadian ini.
Kesimpulannya, sikap bertanggungjawab semua pihak amat perlu dalam mengelakkan kejadian tanah runtuh ini. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap sedemikian sering mengundang padah. Bagi mengatasi masalah ini, sinergi dari semua lapisan masyarakat sahaja dapat menjayakan misi dan visi murni ini. Sesungguhnya, tindakan kita perlu umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Kerja yang teliti pasti membuahkan hasil yang baik.
(Karangan ini dipetik daripada Modul Cemerlang Bahasa Melayu Terbitan PPD Kinta Selatan - Terima Kasih)
Kesimpulannya, sikap bertanggungjawab semua pihak amat perlu dalam mengelakkan kejadian tanah runtuh ini. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap sedemikian sering mengundang padah. Bagi mengatasi masalah ini, sinergi dari semua lapisan masyarakat sahaja dapat menjayakan misi dan visi murni ini. Sesungguhnya, tindakan kita perlu umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Kerja yang teliti pasti membuahkan hasil yang baik.
(Karangan ini dipetik daripada Modul Cemerlang Bahasa Melayu Terbitan PPD Kinta Selatan - Terima Kasih)