Pengguna bahasa Melayu sering menggunakan rangkai kata salah
seorang daripada, seperti dalam ayat yang berikut:
1) Salah seorang daripada pelumba-pelumba itu telah mengalami
kekejangan otot di kaki kirinya.
2) Salah seorang daripada semua pelumba itu telah mengalami
kekejangan otot di kaki kirinya.
3) Salah seorang daripada pelumba itu telah mengalami
kekejangan otot di kaki kirinya.
Semua ayat tersebut tidak gramatis. Ayat 1 hingga 3 tidak
gramatis kerana rangkai kata salah seorang daripada mempunyai kelewahan bahasa.
Rangkai kata yang tepat ialah seorang daripada atau salah seorang.
Selain itu, frasa nama pelumba-pelumba dan semua pelumba
tidak tepat apabila digunakan dalam ayat tersebut. Hal itu dikatakan demikian
kerana dalam konteks ketiga-tiga ayat itu, rangkai kata seorang daripada atau
salah seorang sudah membawa konsep jamak. Oleh itu, frasa nama pelumba-pelumba
dan semua pelumba yang mengikutinya dianggap lewah.
Ayat yang gramatis ialah ayat yang berikut:
4. Salah seorang pelumba itu telah mengalami kekejangan otot
di kaki kiri.
5. Seorang daripada pelumba itu telah mengalami kekejangan
otot di kaki kiri.
(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bahasa, Pelita Bahasa
Februari 2010, DBP)